Premier Sarawak Beri Penghormatan Terakhir Kepada Allahyarham Datuk Kamil
KUCHING: Pemergian Datuk Kamil Musuari disifatkan sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri yang selama ini menerima sokongan padu daripada Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam dunia politik dan perkhidmatan awam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Allahyarham merupakan individu yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, dorongan dan inspirasi kepada Dato Sri Nancy dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Menurut beliau, sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan Allahyarham telah banyak membantu Dato Sri Nancy mengharungi cabaran sepanjang kerjayanya sebagai pemimpin dan wakil rakyat.
“Allahyarham banyak memberikan semangat dan sokongan kepada Dato Sri Nancy dalam bidang politik serta tanggungjawab yang beliau galas.
“Saya yakin Dato Sri Nancy akan meneruskan perjuangan dan tanggungjawab tersebut dengan semangat serta inspirasi yang ditinggalkan Allahyarham,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menziarahi kediaman Dato Sri Nancy bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Kamil Musuari di sini pada Jumaat.
Premier Sarawak yang hadir bersama anakandanya, Dayang Nurjihan Abang Johari, turut meluangkan masa bertemu Dato Sri Nancy dan ahli keluarga bagi menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral kepada mereka yang sedang berdepan detik penuh dukacita.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Dato Sri Nancy dan seluruh ahli keluarga atas pemergian Allahyarham Datuk Kamil. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya.-EDISI UKAS