Warisan Penempatan Asal Bidayuh di Bau Terus Dipelihara
BAU: Kawasan penempatan asal komuniti Bidayuh di daerah ini akan terus dipelihara sebagai warisan penting bagi memastikan sejarah dan identiti masyarakat tersebut tidak hilang ditelan zaman.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut), Datuk Henry Harry Jinep berkata, kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan menerusi dana kerajaan negeri sebagai usaha mengekalkan tapak bersejarah yang menjadi asal usul komuniti Bidayuh.
Menurut beliau, tujuh buah gunung yang merupakan tapak warisan etnik Bidayuh di daerah ini juga perlu terus dilindungi dan dipelihara untuk generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Birumu Gawea Ponyap Akat Kampung Jagoi Gunung (Plaman Bu’ow) Bau Tahun 2026 di sini pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau turut memaklumkan bahawa komuniti Bidayuh di daerah Bau kini mempunyai mercu tanda tersendiri menerusi pembinaan Bidayuh Cultural Centre Bau (BCCB), yang menjadi simbol pemeliharaan budaya dan warisan masyarakat tersebut.
Selain itu, beberapa pusat komuniti turut dirancang untuk dibina di kawasan Jagoi, Bratak, Skiat, Melayu dan Cina bagi memperkukuhkan kemudahan serta memelihara warisan setempat.
Sementara itu, Datuk Henry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru mengumumkan kelulusan geran berjumlah RM150,000 di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2028 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jagoi Gunung.
Peruntukan tersebut akan digunakan bagi menaik taraf dewan serbaguna kampung termasuk pembinaan tapak parkir kenderaan serta tembok penahan tanah demi keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.-EDISI UKAS