Sarawak Teliti Amalan Terbaik Pemuliharaan Warisan di Budapest
BUDAPEST: Sarawak terus memperkukuh usaha pemuliharaan warisan dan pembangunan bandar mampan menerusi lawatan kerja rasmi ke Fisherman’s Bastion di sini bagi meneliti amalan terbaik antarabangsa dalam pengurusan aset bersejarah.
Lawatan yang diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu merupakan sebahagian daripada Program Pertukaran Kolaboratif Bandar Sempadan yang merangkumi misi kajian ke Hungary dan Austria.
Dalam satu kenyataan media pada Selasa, program tersebut memberi tumpuan kepada aspek perancangan bandar, pemuliharaan warisan serta pembangunan pelancongan lestari.
Delegasi berkenaan disambut oleh pihak Pejabat Datuk Bandar Daerah I (Budavár) dan diberikan taklimat oleh Timbalan Datuk Bandar Daerah I, Fodor Artur bersama pegawai berkaitan.
Taklimat itu merangkumi rangka kerja pemuliharaan warisan, inisiatif pelancongan dan amalan pengurusan bandar yang dilaksanakan di kawasan bersejarah Daerah Istana Buda.
Sepanjang lawatan, delegasi didedahkan kepada pendekatan bersepadu yang diamalkan Budapest dalam memelihara nilai seni bina dan warisan budaya, sambil mengoptimumkan aset berkenaan sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan pelancongan.
Perbincangan turut menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan, kerjasama pelbagai pihak serta pengurusan ruang awam berkualiti bagi memastikan kelestarian kawasan bersejarah.
Selain itu, lawatan tersebut memberikan gambaran jelas mengenai peranan mercu tanda warisan dalam penjenamaan bandar, memperkasa pelancongan budaya serta mewujudkan persekitaran bandar yang kondusif dan mesra pejalan kaki.
Pengalaman dan pendedahan yang diperoleh dilihat signifikan dalam menyokong pelaksanaan Pelan Tempatan Limbang-Lawas 2035 yang memberi penekanan kepada pemanfaatan aset budaya, sejarah dan semula jadi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi mampan serta pembangunan sektor pelancongan.
Hasil perkongsian ilmu dan amalan terbaik itu dijangka dapat memperkukuh usaha pemuliharaan warisan, memperindah pusat bandar serta mewujudkan persekitaran yang lebih berdaya tahan, beridentiti dan berdaya saing di kawasan sempadan Sarawak.-EDISI UKAS