Kerjasama Persekutuan-Sarawak Perkukuh Pengangkutan Udara Pedalaman Baram
MARUDI: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kerjasama dalam meningkatkan kemudahan pengangkutan udara luar bandar bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman Baram menikmati akses perhubungan yang lebih selamat, cekap dan berdaya saing.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata STOLport Marudi dan STOLport Long Banga kekal memainkan peranan penting sebagai penghubung utama kepada komuniti pedalaman, khususnya dalam aspek mobiliti rakyat dan penghantaran bekalan keperluan harian.
Menurut beliau, walaupun pembangunan rangkaian jalan raya di kawasan Baram terus dipertingkatkan, perkhidmatan udara masih menjadi keperluan kritikal kepada penduduk yang tinggal jauh dari pusat bandar dan kawasan yang sukar diakses melalui jalan darat.
“STOLport Marudi khususnya masih diperlukan untuk menghubungkan penduduk di kawasan Baram serta menjadi laluan penting bagi penghantaran bekalan harian. Banyak barangan keperluan asas dan runcit untuk komuniti pedalaman seperti Long Banga, Long Seridan, Long Lellang dan Bario diangkut melalui perkhidmatan udara kerana lebih cepat dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah dalam lawatan kerja ke STOLport Marudi dan STOLport Long Banga pada Rabu.
Katanya, lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan semasa serta keperluan menaik taraf kemudahan pengangkutan udara di kedua-dua STOLport berkenaan, selain memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan infrastruktur luar bandar.
Datuk Gerawat menambah, penambahbaikan kemudahan di STOLport Marudi dan Long Banga amat penting bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan serta kecekapan operasi demi manfaat pengguna.
Katanya, penyediaan kemudahan terminal yang lebih moden, ruang menunggu yang selesa dan infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa akan meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang serta memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan.
“Kemudahan terminal yang lebih baik, ruang menunggu yang selesa serta infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa akan memberikan pengalaman perjalanan yang lebih baik kepada penumpang dan pengguna perkhidmatan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengangkutan udara luar bandar bukan sekadar medium perhubungan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat pedalaman dengan memastikan akses kepada pendidikan, kesihatan, perdagangan dan perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia serta agensi berkaitan atas komitmen berterusan dalam memperkasakan kemudahan pengangkutan udara luar bandar yang menjadi nadi perhubungan masyarakat di pedalaman Sarawak.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Setiausaha Bahagian Udara Kementerian Pengangkutan Malaysia Mohd Radzuan Mazlan, Penasihat Teknikal Udara Kementerian Pengangkutan Sarawak Sio Yew Hua serta Pengurus Lapangan Terbang Wilayah Borneo, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Jefri Ramli.— EDISI UKAS