Sarawak, UK Perkukuh Kerjasama Strategik Dalam Tenaga Hijau & Transformasi Digital
KUCHING: Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga hijau dan pembangunan mampan apabila menjalin kerjasama strategik dengan United Kingdom (UK) dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital, pembuatan maju serta pembangunan bakat.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, Sarawak kini berada pada landasan kukuh untuk memainkan peranan penting dalam usaha global menangani perubahan iklim dan menjamin keselamatan tenaga menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan media pada Khamis, beliau telah membentangkan agenda Sarawak berkaitan tenaga boleh diperbaharui, dasar kelestarian alam sekitar, penyahkarbonan, pembangunan hidrogen hijau dan Hab Rendah Karbon, inisiatif Sarawak Transitioning Industrial Cluster (TIC) serta pelbagai usaha yang selari dengan tindakan global bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan memperkukuh keselamatan tenaga.
Menurut beliau, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan sumber tenaga dan industri petrokimia, Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk menyokong peralihan tenaga global melalui pembangunan tenaga boleh diperbaharui, usaha penyahkarbonan serta pelaksanaan teknologi hijau.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak kini mengeksport tenaga ke Kalimantan dan Sabah, manakala pada masa hadapan bekalan elektrik akan diperluaskan ke Singapura dan Semenanjung Malaysia menerusi kabel voltan tinggi bawah laut (HV).
Selain itu, beberapa memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara syarikat milik kerajaan (SOE), sektor swasta dan rakan strategik dari UK melibatkan bidang pembuatan maju, bandar pintar serta pendidikan.
Delegasi UK diketuai Utusan Khas Perdana Menteri UK ke ASEAN, Naz Shah bersama Ahli Lembaga dan Ketua Pegawai Eksekutif Unitas Atlantic Council, Muddassar Ahmed serta Pengarah Unitas, Dr Hassan Abdein.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak (SAIC), Prof. Dr Patrick Then bersama pasukan pengurusannya.
Dari perspektif UK, Naz Shah berkongsi pandangan mengenai usaha memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan dengan Sarawak, khususnya dalam bidang ekonomi hijau dan transformasi digital.
Beliau turut menekankan potensi pelaburan UK di Sarawak, selain menggalakkan kerjasama dalam bidang akademik serta menyatakan komitmen berterusan UK untuk memperdalam hubungan strategik dengan Sarawak.-EDISI UKAS