Program Maal Hijrah Perkukuh Penghayatan Islam, Bentuk Masyarakat Berilmu
LAWAS: Program Bahtera Maal Hijrah 1448H anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Lawas terus menjadi platform penting dalam memperkukuh penghayatan Islam serta menyemai semangat hijrah positif ke arah pembentukan masyarakat yang lebih berilmu, berakhlak dan sejahtera.
Program yang diadakan di Masjid Datuk Pengiran Haji Matusin, Kuala Lawas itu menghimpunkan ahli PERKIM serta masyarakat setempat bagi menghayati makna hijrah dan memperbaharui azam sempena kedatangan tahun baharu Islam.
Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Lawas, Mohamad Ikram Jamil berkata sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW, malah perlu dijadikan pemangkin untuk melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik berlandaskan ajaran Islam.
Menurut beliau, umat Islam perlu sentiasa berusaha mencari keberkatan dalam kehidupan melalui ilmu yang bermanfaat, sumber rezeki yang halal serta amalan yang diterima Allah SWT.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah bertajuk “Menggali Keberkatan di Awal Tahun” pada program berkenaan pada Selasa.
Mohamad Ikram turut mengingatkan masyarakat agar menghargai masa yang dikurniakan dan memanfaatkannya sebaik mungkin dengan memperbanyakkan amal soleh, menuntut ilmu serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Katanya, pembentukan individu dan keluarga yang berteraskan nilai Islam merupakan asas penting dalam melahirkan masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan mempunyai jati diri yang kukuh.
Program tersebut turut diserikan dengan sesi kuiz interaktif dan penyampaian hadiah kepada peserta bertuah sebagai pendekatan santai dalam menggalakkan penyertaan masyarakat terhadap aktiviti keagamaan dan pengembangan ilmu.
Dalam pada itu, PERKIM Lawas turut meneruskan agenda kebajikannya menerusi penyampaian sumbangan kepada beberapa individu yang kurang sihat sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PERKIM Lawas dalam memperkukuh kefahaman Islam, memupuk nilai-nilai murni serta membudayakan semangat hijrah dalam kehidupan seharian masyarakat.
Usaha tersebut selaras dengan aspirasi melahirkan komuniti yang bukan sahaja cemerlang dari segi pembangunan rohani, malah berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran semasa berlandaskan prinsip Islam.— EDISI UKAS