BINTANGOR: Sambutan Hari Gawai terus memainkan peranan penting sebagai medium yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak, sekali gus memperkukuh keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri ini.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, keunikan Sarawak terserlah apabila perayaan yang diraikan oleh sesuatu kaum disambut bersama oleh masyarakat lain tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.
Menurutnya, amalan saling mengunjungi dan meraikan perayaan bersama telah lama menjadi budaya masyarakat Sarawak serta wajar terus dipelihara oleh semua lapisan rakyat.
“Semangat kebersamaan yang kita nikmati hari ini merupakan aset yang amat bernilai. Ia perlu terus diperkukuhkan supaya generasi akan datang dapat mewarisi masyarakat yang bersatu padu dan hidup dalam suasana harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengrami Ngabang Gawai yang berlangsung di Rumah James, Muara Bunut, Bintangor pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, Hari Gawai bukan lagi sekadar perayaan masyarakat Dayak, malah menjadi platform yang mengukuhkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum dalam suasana penuh muhibah.
Katanya, hubungan erat yang terjalin antara masyarakat Melayu, Melanau, Cina, Dayak dan kaum-kaum lain membuktikan bahawa perpaduan terus menjadi kekuatan utama Sarawak.
Menurut beliau, keharmonian yang dinikmati hari ini turut menyumbang kepada kelancaran pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan serta program kerajaan demi manfaat rakyat.
“Apabila masyarakat hidup dalam keadaan saling menghormati dan bekerjasama, usaha membangunkan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan manfaatnya dapat dirasai oleh semua,” ujarnya.
Beliau berharap semangat toleransi, persefahaman dan hormat-menghormati yang menjadi identiti rakyat Sarawak akan terus diperkasakan bagi memastikan negeri ini kekal aman, stabil dan makmur pada masa hadapan.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol.-EDISI UKAS