Program BLM Buka Lebih Banyak Peluang Kepada Belia
BINTANGOR: Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 anjuran Parlimen P206 Tanjung Manis dijangka memberi manfaat kepada penduduk khususnya golongan belia di kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, inisiatif tersebut diwujudkan bagi membantu golongan muda mendapatkan lesen memandu yang sah, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Menurut beliau, program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu menyasarkan penyertaan kira-kira 1,000 peserta.
Katanya, pemilikan lesen memandu kini menjadi antara keperluan penting dalam kehidupan seharian, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan memerlukan pengangkutan untuk urusan harian dan pekerjaan.
“Ramai belia mempunyai potensi untuk maju, namun sebahagiannya berdepan kesukaran mendapatkan lesen memandu kerana pelbagai kekangan.
“Sebab itu program seperti ini dilaksanakan bagi membantu mereka memperoleh lesen secara sah dan memanfaatkan peluang yang tersedia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengrami Ngabang Gawai yang berlangsung di Rumah James, Muara Bunut, Bintangor pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan bantuan yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat, khususnya generasi muda.
Menurutnya, lesen memandu bukan sahaja memudahkan pergerakan harian, malah menjadi antara syarat penting dalam pelbagai sektor pekerjaan.
Tambah beliau, peluang yang disediakan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasar kerana ia mampu membuka ruang kepada peningkatan taraf hidup dan pendapatan pada masa depan.
Beliau berharap lebih ramai belia di kawasan Tanjong Manis tampil menyertai program berkenaan agar manfaat yang disediakan dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat setempat.-EDISI UKAS