Bantuan Kerajaan Dinikmati Semua Rakyat Yang Layak
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak kekal berpegang kepada prinsip keadilan dan keterangkuman dalam menyalurkan pelbagai bantuan serta inisiatif kebajikan bagi memastikan setiap rakyat yang layak menerima manfaat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, pendekatan tersebut membolehkan bantuan kerajaan disampaikan secara menyeluruh kepada rakyat yang memerlukan di seluruh negeri.
Menurutnya, pelaksanaan pelbagai program kebajikan mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan dan kesejahteraan sosial.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat dengan memastikan bantuan diberikan berdasarkan syarat kelayakan yang ditetapkan, bukannya berdasarkan kaum atau latar belakang politik.
“Setiap individu yang memenuhi kriteria akan menerima manfaat yang disediakan menerusi pelbagai inisiatif kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengrami Ngabang Gawai yang berlangsung di Rumah James, Muara Bunut, Bintangor pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, antara bantuan yang terus memberi manfaat kepada rakyat ialah Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dan Kenyalang Gold Card (KGC) yang membantu meningkatkan kesejahteraan golongan sasar, khususnya warga emas.
Katanya, selain bantuan kebajikan, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan dan kesihatan bagi membantu meringankan beban rakyat.
Menurut beliau, dasar kerajaan Sarawak memastikan manfaat pembangunan dan bantuan dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat di kawasan bandar serta luar bandar.
“Yang penting, kita mahu setiap rakyat yang layak menerima bantuan yang disediakan supaya kesejahteraan masyarakat terus terpelihara,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa suasana politik yang stabil serta perpaduan rakyat yang kukuh menjadi asas penting dalam membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai program bantuan dan pembangunan demi kesejahteraan Sarawak.-EDISI UKAS