Pendidikan Terus Diberi Keutamaan Demi Masa Depan Sarawak
BINTANGOR: Komitmen Kerajaan Sarawak dalam memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi terus diperkukuhkan menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif yang bertujuan melahirkan lebih ramai graduan berkualiti serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, kerajaan negeri sentiasa memastikan peluang melanjutkan pengajian dapat dinikmati oleh semua rakyat yang layak tanpa mengira latar belakang kaum atau status sosial.
Menurutnya, pendidikan merupakan antara pelaburan paling penting dalam membentuk masa depan generasi muda dan memacu kemajuan negeri dalam jangka panjang.
“Kerajaan terus menyediakan bantuan pendidikan bagi membolehkan lebih ramai anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Peluang yang disediakan ini terbuka kepada semua yang layak tanpa mengira kaum kerana kita mahu setiap anak Sarawak mempunyai peluang yang sama untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pengrami Ngabang Gawai yang berlangsung di Rumah James, Muara Bunut, Bintangor pada Rabu.
Dato Ir Yusuf berkata, Sarawak kini mempunyai beberapa institusi pengajian tinggi milik negeri yang menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan, termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Laila Taib, Universiti Curtin Malaysia dan Universiti Swinburne Sarawak.
Jelas beliau, kerajaan negeri bukan sahaja membantu pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, malah turut memberi penghargaan kepada mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam.
Menurutnya, pendekatan tersebut bertujuan menggalakkan kecemerlangan akademik serta meningkatkan motivasi pelajar untuk terus mencapai kejayaan dalam pendidikan.
Tambahnya, generasi muda yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran yang baik akan mempunyai peluang pekerjaan yang lebih luas serta berupaya meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
“Apabila lebih ramai anak Sarawak berjaya dalam pendidikan, manfaatnya bukan sahaja dirasai oleh individu dan keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan negeri secara keseluruhan,” ujarnya.-EDISI UKAS