Operasi Pembenihan Awan Bermula, Tingkat Paras Air Empangan Dan Kawasan Tadahan
KUCHING: Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memulakan Operasi Pembenihan Awan bagi meningkatkan paras air di empangan utama dan kawasan tadahan air yang terjejas akibat cuaca panas serta kering yang melanda negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, langkah itu diambil susulan laporan paras air yang rendah di beberapa empangan utama serta kawasan yang mengalami masalah bekalan air.
Menurutnya, kawasan yang akan dijalankan operasi ini adalah di Empangan Batang Ai di Lubok Antu, Empangan Bakun dan Murum di Belaga, Empangan Bengoh, Matang, Simunjan dan Gerugu dengan pembenihan awan akan dilaksanakan bermula hari ini sehingga Ahad kelak.
"Kami berharap operasi ini berjaya supaya masalah bekalan air dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya dikurangkan.
"Ini kerana keadaan cuaca ketika ini sememangnya sangat panas dan kering," katanya dalam sidang media Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Udara Kuching pada Jumaat.
Tambahnya, operasi pertama yang dilaksanakan pada Mei lalu berjaya meningkatkan paras air di Empangan Batang Ai, namun keadaan di Empangan Bakun masih memerlukan perhatian.
Menurutnya, peningkatan paras air di Empangan Batang Ai, Bakun termasuk Murum amat penting kerana ketiga-tiga empangan tersebut merupakan sumber utama bekalan elektrik Sarawak.
Datuk Amar Douglas memberitahu, operasi kali ini bukan sahaja memfokuskan kawasan empangan utama, malah turut melibatkan kawasan tadahan air bagi meningkatkan keberkesanan usaha menambah sumber bekalan air negeri.
Beliau turut memberi jaminan operasi pembenihan awan yang dilaksanakan adalah selamat kerana hanya menggunakan garam biasa sebagai bahan pembenihan.
Untuk makluman, paras air empangan Batang Ai kini dalam keadaan 'Event & Drought Emergency Level 1' manakala empangan Bakun dalam keadaan 'Drought Emergency Level 1'.
Paras air di Empangan Murum pula kini dalam 'Drought Event' manakala empangan-empangan utama yang lain di paras normal namun mampu berubah sekiranya cuaca panas dan kering tidak berubah.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) merangkap Timbalan Pengerusi JPBNS Datu Felicia Tan Ya Hua. -EDISI UKAS