KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah supaya mempertingkatkan kesiapsiagaan bagi menghadapi risiko jerebu serta kebakaran tanah gambut susulan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peningkatan suhu dan musim kering lazimnya menyebabkan jumlah titik panas (hotspot) bertambah, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terbuka.
Menurut beliau, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akan terus dipantau dan tindakan akan diambil berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sekiranya keadaan menjadi tidak sihat.
"Kami telah mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian yang dipengerusikan oleh Residen, serta di peringkat daerah yang diketuai Pegawai Daerah supaya membuat persediaan awal.
"Antara fokus utama ialah kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan mudah terbakar," katanya dalam sidang media Operasi Pembenihan Awan di Pangkalan Udara Kuching pada Jumaat.
Menurut beliau, antara kawasan yang diberi perhatian ialah Kuala Baram yang sering berdepan insiden kebakaran tanah gambut ketika musim panas.
Katanya, kerajaan negeri telah menyediakan pelbagai infrastruktur sokongan termasuk telaga tiub, empangan kecil dan menara pemantauan bagi mempercepatkan tindakan sekiranya berlaku kebakaran.
Selain itu, kerjasama turut dijalin dengan pemilik tanah bagi memastikan usaha pemadaman dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Datuk Amar Douglas menambah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juga telah diarahkan menggunakan dron untuk memantau kawasan tanah gambut yang berisiko tinggi.
"Langkah paling bijak ialah bertindak sebaik sahaja asap dikesan dan tidak menunggu sehingga api marak.
"Apabila api sudah kelihatan, kawasan yang terbakar biasanya sudah menjadi sangat luas dan kebakaran boleh merebak dengan cepat kerana kawasan tanah gambut sangat kering dan mudah terbakar," jelasnya.
Sekiranya perlu ujarnya, pihak JPBNS akan melaksanakan tindakan membanjiri kawasan tanah gambut mengikut SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan kebakaran terus merebak.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka dan segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan asap atau kebakaran di kawasan berhampiran. -EDISI UKAS