Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat LAKMM, Perkenal Barisan Pemegang Amanah Baharu
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada delegasi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) yang diketuai barisan Ahli Pemegang Amanah baharu bagi sesi 2025–2028 di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Jumaat.
Kunjungan tersebut diadakan bagi memperkenalkan barisan kepimpinan baharu LAKMM serta membincangkan perkembangan semasa organisasi dan perancangan pembangunan yang dirangka untuk manfaat masyarakat Islam di Bahagian Miri.
Dalam pertemuan itu, delegasi LAKMM turut memperincikan peranan dan tanggungjawab Ahli Pemegang Amanah dalam memperkukuh agenda kebajikan, pendidikan serta pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.
Delegasi LAKMM juga berkongsi aspirasi untuk mempertingkat keberkesanan penyampaian program melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Turut hadir ialah Pengerusi LAKMM Datuk Abdilllah Abdul Rahim, Timbalan Pengerusi LAKMM merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir, Setiausaha LAKMM Kaunselor Ariffin Mohamad dan Bendahari LAKMM Julaihi Mohamad.-EDISI UKAS