Prestasi STPM Sarawak Meningkat, PNGK Negeri Naik Kepada 2.75
KUCHING: Prestasi keseluruhan calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di Sarawak menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.75 berbanding 2.68 pada tahun sebelumnya.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata peningkatan sebanyak 0.07 mata itu mencerminkan pencapaian akademik yang lebih baik dalam kalangan calon STPM di negeri ini.
Menurutnya, daripada 5,440 calon yang berdaftar bagi STPM 2025, seramai 5,259 calon atau 96.67 peratus hadir menduduki peperiksaan tersebut.
“Pencapaian cemerlang turut dapat dilihat apabila seramai 115 calon atau 2.19 peratus berjaya memperoleh PNGK sempurna 4.00, meningkat berbanding 92 calon atau 1.61 peratus pada STPM 2024,” katanya dalam sidang media pengumuman keputusan STPM 2025 di sini pada Jumaat.
Selain itu, sebanyak 309 calon memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas, manakala 1,626 calon mencapai PNGK 3.00 dan ke atas.
Dato Sri Roland berkata pencapaian calon yang mengambil lima mata pelajaran juga amat membanggakan apabila dua calon berjaya memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Dalam pada itu, bilangan calon yang memperoleh 4A turut meningkat kepada 110 orang berbanding 91 orang pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata peningkatan tersebut membuktikan komitmen berterusan warga pendidik, ibu bapa serta para pelajar dalam meningkatkan kecemerlangan akademik di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Herald Nyumbang