KUCHING: Permintaan terhadap program perubatan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kekal tinggi, namun bilangan pelajar yang layak menerima Biasiswa Khas Program Perubatan Yayasan Sarawak masih terhad berikutan syarat kelayakan yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata biasiswa khas itu bukan diberikan secara automatik dan pemohon perlu memenuhi beberapa kriteria yang telah ditetapkan.
Katanya, bagi pengambilan tahun lalu, seramai 105 daripada 150 pelajar yang diterima masuk ke program perubatan UNIMAS merupakan anak Sarawak, sekali gus menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pelajar tempatan terhadap bidang berkenaan.
“Yayasan Sarawak mempunyai geran khas untuk pelajar perubatan Sarawak, namun bilangan pelajar yang layak menerima bantuan itu tidak ramai kerana terdapat kriteria tertentu yang perlu dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman keputusan STPM 2025 di sini pada Jumaat.
Datuk Dr Annuar memberitahu, proses temu duga bagi pengambilan program perubatan UNIMAS untuk tahun ini masih berjalan dan angka rasmi kemasukan pelajar Sarawak belum dimuktamadkan.
Tambahnya inisiatif berkenaan merupakan antara usaha kerajaan Sarawak untuk membantu lebih ramai anak negeri melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan serta memenuhi keperluan tenaga kerja kesihatan di Sarawak.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Herald Nyumbang