Bahasa Kebangsaan Tonggak Jati Diri, Perlu Diperkasa Bersama
DARO: Bahasa kebangsaan perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan tamadun, pengukuhan jati diri serta medium penyatuan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang di negara ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah menjadi asas penting dalam pembentukan masyarakat berilmu, berbudaya dan mempunyai identiti yang kukuh.
“Bahasa yang dipelihara dengan baik akan melahirkan masyarakat yang berilmu, berbudaya dan mempunyai jati diri yang kukuh.
“Justeru, usaha memperkasakan bahasa kebangsaan perlu dipikul bersama oleh semua pihak termasuk institusi pendidikan, agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Malam Bahasa Jiwa Bangsa sempena Program Kembara MADANI Bahasa dan Sastera (KEMBARA) di Dewan Masyarakat Daro, baru-baru ini.
Menurut Dr. Safiee yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), penghayatan terhadap sastera juga perlu terus diperkukuhkan kerana karya sastera berperanan menyampaikan pemikiran, sejarah serta kebijaksanaan bangsa kepada generasi akan datang.
Katanya, pembangunan sesebuah masyarakat tidak seharusnya diukur melalui kemajuan fizikal semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada kekuatan nilai, budaya dan warisan yang menjadi identiti sesebuah bangsa.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada DBP atas komitmen berterusan membawa program berimpak tinggi ke kawasan luar bandar bagi memastikan agenda pembangunan bahasa dan sastera dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Majlis tersebut merupakan acara kemuncak Program KEMBARA di Daro yang dilaksanakan bersempena sambutan ulang tahun ke-70 penubuhan DBP, sekali gus menjadi platform memperkukuh hubungan antara DBP dan masyarakat menerusi pelbagai pengisian berteraskan bahasa, sastera dan seni budaya.
Program berkenaan turut membawa mesej bahawa bahasa dan sastera perlu terus menjadi nadi pembangunan negara serta diperkasakan seiring perkembangan semasa tanpa mengabaikan nilai warisan dan identiti kebangsaan.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pengarah DBP Datuk Dr. Hazami Jahari, Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP Abang Haliman Abang Julai serta Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr. Azizul Ismail.-EDISI UKAS