Lebih 160 Pelajar Sertai Cabaran Robotik, Dron dan Inovasi 3D Sarawak 2026 di Sibu
SIBU: Lebih 160 pelajar dari pelbagai sekolah di seluruh Sarawak menyertai Cabaran Robotik, Dron dan Inovasi 3D Antara Sekolah Sarawak 2026 yang menjadi platform untuk memupuk minat generasi muda terhadap sains, teknologi dan inovasi.
Ketua Pegawai Teknologi U Best Youbisheng Sdn Bhd, Dr Elton Wong Kee Sheng berkata sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan minat serta komitmen pelajar terhadap bidang teknologi semakin berkembang di negeri ini.
“Pada tahun ini, kami amat gembira melihat sambutan yang begitu menggalakkan dari seluruh Sarawak.
“Kehadiran anda semua merupakan cerminan semangat, komitmen dan keazaman dalam mendukung bidang sains, teknologi dan inovasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Cabaran Robotik, Dron dan Inovasi 3D Antara Sekolah Sarawak 2026 di Sekolah Menengah (SM) Katolik Sibu, pada Jumaat.
Pertandingan tersebut dirasmikan oleh Ketua Bahagian Inovasi Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dr Cheong Yaw Liang mewakili Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Tambah Dr Elton, pertandingan tersebut bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform untuk menyemai kreativiti, rasa ingin tahu dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.
“Melalui robotik, teknologi dron dan inovasi 3D, para pelajar diberi peluang untuk merealisasikan idea menjadi kenyataan sambil membangunkan kemahiran berfikir secara kritis, kerja berpasukan dan penyelesaian masalah yang amat penting untuk masa depan,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata perkembangan teknologi yang pesat memerlukan generasi muda dilengkapi dengan pengetahuan dan keyakinan agar mereka bukan sekadar pengguna teknologi tetapi juga pencipta serta inovator.
“Saya percaya bahawa sebahagian daripada jurutera, usahawan, penyelidik dan pemimpin teknologi masa depan Sarawak mungkin berada di dalam dewan ini pada hari ini,” katanya lagi.
Pertandingan yang menghimpunkan peserta dari pelbagai bahagian di Sarawak itu berlangsung meriah apabila para pelajar mempamerkan kreativiti serta kemahiran masing-masing dalam bidang robotik, teknologi dron dan inovasi 3D.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengurusan SM Katolik Sibu, Daniel Sng Wei Siong.-EDISI UKAS