Persiapan Hari Sarawak 2026 di Sibu Diperkemas Melalui Lawatan Tapak
SIBU: Persiapan menjelang Sambutan Hari Sarawak 2026 yang bakal berlangsung di Sibu dari 20 hingga 22 Julai depan terus diperkemas menerusi lawatan tapak ke beberapa lokasi utama acara pada Jumaat.
Lawatan tersebut diketuai Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, Dato Sri Lee Kim Shin, bersama wakil pelbagai agensi dan jabatan berkaitan bagi meninjau tahap kesiapsiagaan lokasi yang terlibat.
Turut menyertai lawatan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Antara lokasi yang ditinjau ialah Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Kingwood Hotel, Masjid An-Nur dan Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud yang dijangka menjadi tumpuan sepanjang sambutan berkenaan.
Lawatan itu bertujuan memastikan segala aspek logistik, keselamatan, kemudahan serta pengurusan acara berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelancaran penganjuran sambutan Hari Sarawak 2026.
Pada masa sama, sesi lawatan berkenaan turut memberi peluang kepada semua agensi terlibat untuk menyelaras keperluan serta tindakan susulan yang perlu dilaksanakan sebelum acara berlangsung.
Sibu dipilih sebagai tuan rumah Hari Sarawak 2026 dengan pelbagai program telah dirancang sepanjang tiga hari sambutan bagi menyemarakkan semangat cintakan Sarawak selain menghargai sejarah, perpaduan dan pencapaian negeri ini.
Sambutan itu dijangka menghimpunkan ribuan pengunjung dari seluruh Sarawak dan menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan latar belakang.-EDISI UKAS