Sibu Jadi Tumpuan Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2026, Sasar Kehadiran Ribuan Rakyat
SIBU: Sibu bakal menjadi tumpuan sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 dengan penganjuran acara dan program menarik yang telah diatur di beberapa lokasi terpilih bermula 20 hingga 22 Julai depan.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Sarawak Tahun 2026, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan bertemakan “Sarawak Maju Makmur” ini dijangka menarik kehadiran ribuan rakyat berbilang kaum dari pelbagai bahagian di Sarawak dalam meraikan wilayah ini yang mendapat pemerintahan sendiri pada tahun 1963.
“Saya berharap penganjuran sambutan ini di Sibu bukan sahaja menyemarakkan semangat kebersamaan, malah mengiktiraf peranan penting bandar ini sebagai kluster pertumbuhan ekonomi dan pusat pembangunan strategik bagi Wilayah Tengah Sarawak dan menyumbang kepada kemajuan Sarawak secara menyeluruh.
“Saya menyeru seluruh rakyat untuk hadir beramai-ramai memeriahkan Sambutan Perayaan Hari Sarawak Tahun 2026 sebagai tanda kesyukuran dan semangat cintakan Sarawak.
“Marilah kita beramai-ramai ke Dataran Tun Tuanku Bujang pada 20 hingga 22 Julai nanti dan meraikan sambutan ini,” katanya pada sidang media Sambutan Perayaan Hari Sarawak Tahun 2026 di Hotel RH di sini, pada Jumaat.
Tambah beliau, sebanyak tujuh acara utama telah diatur sepanjang tiga hari tersebut yang merangkumi Karnival Jualan, Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain, Zumba, Majlis Kesyukuran di Masjid An-Nur, Unity Walk, Townhall, serta acara kemuncak Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat.
“Pada Konsert Rakyat, kita turut menyediakan Pra Persembahan dan Segmen Hiburan yang menampilkan artis tempatan, iaitu Ricky Anderson, Kelly, Claudia, Priscilla Abby, Ericson serta juga artis popular, iaitu Mimi Fly.
“Jadi, sama-sama kita hadir dan memeriahkan Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee menjelaskan bahawa Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi merupakan tetamu kehormat yang akan menyerikan perayaan berkenaan, di samping kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
“Untuk makluman, Perhimpunan Sambutan Hari Sarawak 2026 akan disiarkan secara langsung di TVS saluran 122 MYTV, Unifi TV dan Astro Strim Live HD di tvsarawak.my serta di Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Youtube, UKAS Channel.
“Kita juga memohon agar semua bangunan Kerajaan, premis-premis perniagaan, sekolah-sekolah serta kediaman dikibarkan Bendera Sarawak sebagai tanda menyemarakkan sambutan perayaan ini nanti,” serunya.
Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Micheal Tiang Ming Tee, Pengarah Unit Protokol, Istiadat Dan Pengurusan Acara Sarawak Datu Hamdan Sharbini, Residen Bahagian Sibu Superi Awang Said dan Timbalan Residen Bahagian Sibu Christopher Ranggau Unting.- EDISI UKAS