Residen Sri Aman Tinjau Kemajuan Projek STR Sarawak di Bandar Simanggang
SIMANGGANG: Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Jalan Utama Kedua (STR) Sarawak Pakej B2 Fasa 1 di sekitar Bandar Simanggang bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek serta keadaan semasa kawasan yang terlibat pada Jumaat.
Lawatan yang bermula di perkarangan Hotel Seri Simanggang itu bertujuan mendapatkan gambaran terkini mengenai kemajuan projek selain menilai tahap kebersihan dan keadaan jalan raya yang telah melalui kerja-kerja penambahbaikan oleh pihak kontraktor.
Mahra bersama rombongan memulakan tinjauan di simpang jalan masuk menuju ke deretan lot kedai berhampiran sebelum meneruskan lawatan ke Jalan Foochow, Pasar Tamu Simanggang dan beberapa lokasi lain yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Beliau berkata, Projek STR Sarawak Pakej B2 Fasa 1 merupakan inisiatif penting dalam meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya serta menyokong pembangunan Bandar Simanggang.
“Walaupun projek ini masih dalam pelaksanaan, pihak kontraktor perlu terus memastikan kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
“Saya juga berharap aspek kebersihan dan pengurusan tapak sentiasa diberi perhatian demi kesejahteraan penduduk setempat serta imej Bandar Simanggang,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama erat antara kontraktor, agensi pelaksana dan pihak berkepentingan lain amat penting bagi memastikan sebarang isu yang timbul dapat ditangani segera sekali gus mengelakkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Sri Aman, Frank Lani, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Sri Aman, Joshua Martin Jantan, Temenggong Kueh Aik Seng serta wakil-wakil agensi kerajaan berkaitan.-EDISI UKAS