Transformasi JKKK, KMKK Perkukuh Agenda Pembangunan Luar Bandar
LIMBANG: Transformasi institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) menjadi antara keutamaan dalam memastikan agenda pembangunan luar bandar dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, inklusif dan selari dengan keperluan masyarakat masa kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, peranan JKKK dan KMKK kini semakin penting sebagai pemangkin pembangunan komuniti serta penghubung utama antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, landskap pembangunan yang semakin kompleks memerlukan kepimpinan komuniti yang lebih dinamik, berintegriti dan berwawasan bagi memastikan pelbagai dasar serta inisiatif kerajaan dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat.
“Jika dahulu peranan pemimpin tempatan lebih tertumpu kepada pengurusan adat dan hal ehwal komuniti, kini urus tadbir JKKK perlu diperkasakan secara menyeluruh.
“Kepimpinan yang cekap, berintegriti dan berwawasan amat penting untuk memastikan pembangunan serta kemajuan sosioekonomi dapat dinikmati oleh masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemantapan dan Pengurusan JKKK Rumah-Rumah Panjang sempena Pesta Medamit 2026 di Dewan Masyarakat Medamit, pada Khamis.
Tambah beliau, keupayaan JKKK dan KMKK menyampaikan maklumat, menjelaskan dasar kerajaan serta mengenal pasti keperluan rakyat secara tepat akan menentukan keberkesanan pelaksanaan pelbagai program pembangunan di peringkat komuniti.
Sehubungan itu, beliau menegaskan hubungan erat antara pemimpin akar umbi, agensi kerajaan dan masyarakat perlu terus diperkukuh bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada menikmati manfaat pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan.
Dalam pada itu, Dato Paulus menyifatkan program pemantapan berkenaan sebagai platform penting untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran pengurusan dan keupayaan kepimpinan ahli JKKK agar lebih bersedia mendepani cabaran pembangunan semasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) Pampang Limbang atas usaha menganjurkan program tersebut yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kapasiti kepimpinan komuniti luar bandar.
Menurutnya, usaha memperkasakan institusi JKKK dan KMKK perlu diteruskan kerana kedua-duanya merupakan barisan hadapan yang memainkan peranan penting dalam memastikan agenda pembangunan kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, mampan dan inklusif.
Program Pemantapan dan Pengurusan JKKK Rumah-Rumah Panjang merupakan antara pengisian utama Pesta Medamit 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun. Program itu turut dimeriahkan dengan pameran agensi kerajaan, jualan usahawan tempatan serta pelbagai aktiviti kebudayaan yang mencerminkan kepelbagaian masyarakat di Bahagian Limbang.
Turut hadir Wakil Pegawai Daerah Limbang, Donny Dunggat; Residen Bahagian Kapit selaku penceramah jemputan, Elvis Didit; Temenggong Willie Marum Liaw serta ketua-ketua masyarakat dan ketua kaum kawasan Iban Limbang.-EDISI UKAS