TOBC 4.0 Sasar Rekod Nasional, Angkat Miri Sebagai Hab Budaya Antarabangsa
MIRI: Taste of Borneo Cultural Carnival (TOBC) 4.0 bakal mencipta lembaran baharu dalam landskap pelancongan budaya negara apabila menghimpunkan 32 persatuan etnik dalam perarakan budaya terbesar yang disasarkan untuk mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records, sekali gus mengangkat Miri sebagai pintu gerbang diplomasi budaya dan pelancongan antarabangsa.
Karnival yang akan berlangsung dari 1 hingga 12 Julai depan di Tapak Letak Kereta Terbuka Boulevard Miri itu turut menjadi platform memperluas jaringan kerjasama budaya antarabangsa menerusi penglibatan delegasi dari Yunnan, China serta pemeteraian hubungan persahabatan antara institusi budaya dan pihak berkuasa tempatan kedua-dua wilayah.
Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi Bersama TOBC, Galong Luang berkata perarakan TOBC pada 1 Julai depan dijangka menjadi tumpuan utama apabila menghimpunkan penyertaan daripada 32 persatuan etnik, empat sekolah menengah serta delegasi kebudayaan dari Yunnan.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja bertujuan mencipta rekod kebangsaan, malah menjadi medium mempromosikan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Borneo kepada khalayak antarabangsa.
“Penyertaan pelbagai etnik dari Sarawak dan delegasi luar negara membuktikan TOBC terus berkembang sebagai platform penyatuan budaya yang mampu menarik perhatian masyarakat global,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media TOBC 4.0 yang berlangsung di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Jumaat.
Perarakan berkenaan akan turut disertai wakil etnik Han, Yi, Hani, Zhuang, Wa dan De’ang dari Yunnan yang bakal mempersembahkan keunikan budaya masing-masing, sekali gus menambah elemen antarabangsa kepada penganjuran karnival tahun ini.
Dalam pada itu, Program Seni Budaya Tarian Borneo yang dijadual berlangsung pada 3 Julai akan menghimpunkan kumpulan kebudayaan dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam, Indonesia dan Yunnan dalam usaha memperkukuh pertukaran budaya serta mempromosikan warisan Borneo di peringkat serantau.
Program tersebut akan diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai tetamu kehormat.
Kemuncak TOBC 4.0 pada 4 Julai pula dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Selain persembahan kebudayaan dan pameran etnik, majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persahabatan antara Taste of Borneo Cultural Carnival dan Society of Yunnan Nationalities serta Majlis Menandatangani Bandar Persahabatan antara Majlis Bandaraya Miri dan Kerajaan Rakyat Perbandaran Lijiang, China.
Inisiatif tersebut dijangka membuka ruang kerjasama lebih luas dalam bidang pelancongan, kebudayaan, ekonomi kreatif dan pembangunan komuniti, sekali gus memperkukuh hubungan antara Sarawak dan China.
Penganjuran TOBC 4.0 dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh diplomasi budaya, merancakkan industri pelancongan serta mempromosikan kekayaan warisan Borneo kepada dunia, selaras aspirasi menjadikan Miri sebagai destinasi pelancongan budaya utama di rantau ini.-EDISI UKAS