Semangat Hijrah Perlu Diterjemahkan Dalam Bentuk Perubahan Positif
ASAJAYA: Semangat hijrah perlu diterjemahkan dalam bentuk perubahan positif dan pembangunan berterusan bagi melahirkan masyarakat yang lebih maju, berilmu serta berdaya tahan selaras dengan aspirasi pembangunan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar memperingati penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, sebaliknya menjadi medan untuk memperbaharui iltizam, memperkukuhkan keimanan serta membentuk masyarakat yang bersatu, berakhlak dan berdaya saing.
“Semangat hijrah perlu diterjemahkan melalui perubahan positif dalam kehidupan seharian sama ada dari aspek pemikiran, pendidikan, ekonomi mahupun pembangunan masyarakat.
“Peristiwa hijrah membuktikan bahawa perubahan dan transformasi merupakan elemen penting dalam membangunkan sebuah masyarakat yang maju dan mampu menghadapi cabaran semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Asajaya 1448H/2026M, di Dewan Serbaguna Kampung Serpan Ulu pada Sabtu
Mengulas mengenai pembangunan kawasan Asajaya, Dato Sri Abdul Karim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menzahirkan rasa syukur atas kemajuan yang dicapai hasil pelaksanaan pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan yang telah membawa perubahan ketara kepada kehidupan rakyat.
Menurut beliau, pembangunan infrastruktur yang semakin baik, kemudahan asas yang lebih lengkap serta akses perhubungan yang lebih efisien telah meningkatkan taraf hidup penduduk berbanding beberapa dekad lalu.
Beliau turut menyifatkan pencapaian dalam bidang pendidikan sebagai antara indikator utama kejayaan pembangunan modal insan di kawasan tersebut apabila semakin ramai anak-anak Asajaya berjaya melanjutkan pengajian ke universiti, politeknik dan institusi pengajian tinggi setiap tahun.
Katanya, perkembangan itu mencerminkan perubahan minda masyarakat yang semakin menyedari kepentingan pendidikan sebagai asas kepada kemajuan generasi masa hadapan.
Sehubungan itu, beliau menyeru ibu bapa agar terus memberi penekanan terhadap pendidikan dan pembentukan sahsiah anak-anak bagi memastikan kesinambungan pembangunan dapat diteruskan.
Pada majlis yang sama, turut berlangsung penyampaian sijil pelantikan dan pelantikan semula Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bagi Daerah Asajaya dan Daerah Kecil Sadong Jaya.
Beliau berharap para penerima amanah dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti, disiplin dan komitmen dalam membantu kerajaan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk l Rubiah Wang, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS Bahagian Samarahan, Ustaz Mohd Rafizi Wahab serta Temenggong Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan, Temenggong Chek Bujang. -EDISI UKAS