KUCHING: Seramai 800 peserta menyertai Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen Kelas B2 Peringkat DUN N.6 Tupong yang dilaksanakan bagi membantu masyarakat, khususnya golongan belia, mendapatkan lesen memandu motosikal secara sah serta meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman telah hadir meninjau pelaksanaan program tersebut di Masjid Al-Abyad, Matang Jaya, pada Sabtu.
Program berkenaan kini memasuki sesi latihan amali Bahagian II dan Bahagian III yang melibatkan kemahiran menunggang motosikal di litar serta pemanduan di jalan raya sebagai persediaan sebelum peserta menduduki ujian praktikal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 11 Julai depan.
Menurut beliau, inisiatif MyLesen memberi peluang kepada lebih ramai rakyat, terutama golongan muda, untuk memperoleh lesen memandu secara sah sekali gus mengurangkan risiko penggunaan motosikal tanpa lesen.
Katanya, selain membantu meringankan beban peserta, program tersebut turut menyokong usaha kerajaan melahirkan pengguna jalan raya yang lebih berdisiplin, berkemahiran serta mematuhi peraturan lalu lintas.
"Melalui latihan yang disusun secara sistematik dan komprehensif, peserta didedahkan kepada aspek keselamatan, pengendalian motosikal serta amalan pemanduan berhemah sebelum menduduki ujian JPJ," katanya.
Program anjuran Pusat Khidmat DUN Tupong dengan kerjasama Cangiran Matang itu diharap dapat memberi manfaat jangka panjang kepada peserta serta menyumbang kepada peningkatan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat setempat.-EDISI UKAS