Bantuan Subsidi Pertanian Perlu Sampai Kepada Penerima Layak
KUCHING: Bantuan dan subsidi pertanian yang disediakan kerajaan perlu dipastikan sampai kepada penerima yang benar-benar layak bagi mengelakkan ketirisan sekali gus memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan sasar.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua berkata, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkukuhkan bagi memastikan bantuan seperti subsidi baja dan peralatan pertanian tidak disalahgunakan.
Perkara ini ditegaskan susulan laporan sebelum ini yang menunjukkan bantuan diberikan kepada individu yang tidak terlibat secara aktif dalam aktiviti pertanian, sekali gus menjejaskan keberkesanan program bantuan kerajaan.
“Saya tidak pasti sama ada perkara itu masih berlaku atau tidak, malah sebelum bantuan sampai ke rumah panjang, ada pihak pengedar yang sudah menunggu untuk mengambil baja tersebut yang telah dijual kepada mereka.
“Perkara ini perlu diteliti secara serius kerana jika masih berlaku, saya fikir pihak ekspatriat perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam,” katanya ketika berucap dalam Majlis Gotong Royong Perdana 2026 dan Pelancaran Sarawak Civil Service Environmental Standard (SACSES) Jabatan Pertanian Sarawak (DOA), di Pejabat Bahagian Kejuruteraan Pertanian DOA pada Sabtu.
Tambahnya, kaedah pemilihan penerima juga perlu diselaraskan semula bagi membolehkan penerima yang layak dapat bantuan subsidi dan peralatan mengikut kriteria yang telah ditetapkan dan menjalankan aktiviti mereka berdasarkan kelayakan.
Dalam perkembangan lain, Datu Felicia turut menekankan kepentingan pengurusan aset kerajaan secara berkesan termasuk kuarters, kenderaan dan jentera pertanian yang dimiliki DOA.
Katanya, aset yang tidak lagi ekonomik atau telah uzur perlu dipercepatkan proses pelupusan melalui prosedur ‘Board of Survey’ (BOS) bagi mengelakkan pembaziran ruang serta menjaga imej organisasi.
“Mana-mana aset yang masih boleh digunakan perlu dipastikan berada dalam keadaan baik, manakala aset yang tidak lagi sesuai digunakan perlu diuruskan sewajarnya.
“Jika layak untuk dilupuskan melalui BOS, pastikan proses itu dipercepatkan dan tidak ditangguhkan kerana dari sudut imej organisasi, aset yang usang dan terbiar bukan sahaja mencacatkan pemandangan malah mengambil ruang yang tidak diperlukan.
“Jika telah memenuhi syarat untuk dilupuskan, laksanakan proses pelupusan mengikut tatacara ditetapkan oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak (SFS),” jelasnya.
Selain itu, Datu Felicia menegaskan kepentingan amalan turun padang dalam kalangan pegawai kerajaan bagi membolehkan isu rakyat dikenal pasti dan ditangani dengan lebih cepat dan berkesan.
Menurutnya, arahan tersebut selaras dengan penekanan yang sering diberikan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki agar ketua-ketua jabatan dan pegawai kerajaan sentiasa mendekati masyarakat serta memantau sendiri pelaksanaan program di lapangan.
Tegasnya, tindakan proaktif sedemikian penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan terus berkesan, sekali gus mengurangkan aduan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Datu Dr Sirai Daha dan Pengarah DOA Dominic Chunggat. -EDISI UKAS