LUNDU: Program Gotong Royong Zon 9 Serayan yang melibatkan penduduk dari beberapa kampung sekitarnya berjaya menghimpunkan komuniti setempat dalam usaha memelihara kebersihan dan kemudahan awam, khususnya kawasan dam sistem paip graviti di Kampung Serayan.
Program yang dilaksanakan menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Majlis Daerah Lundu (MDL) itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.
Menurut beliau, penganjuran program yang disifatkan sebagai aktiviti sihat ini mampu memberi manfaat kepada komuniti.
“Masyarakat perlu sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bagi membendung penularan penyakit seperti denggi dan rabies, selain menggalakkan budaya gotong royong terus diperkasakan dalam kalangan penduduk,” katanya semasa berucap dalam program itu, di sini pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menjaga kepentingan rakyat terutamanya keperluan rakyat seperti penyediaan jalan pertanian dan bekalan air menerusi sistem paip graviti.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk kerja-kerja membersihkan kawasan dam serta menebas semak dan memotong kayu di sepanjang laluan menuju ke dam paip bagi memastikan akses yang lebih selamat dan teratur kepada pengguna. -EDISI UKAS