Sambutan Gawai Platform Perkukuh Hubungan, Semangat Perpaduan Masyarakat
SIBURAN: Sambutan Hari Gawai bukan sekadar meraikan hasil tuaian dan warisan budaya masyarakat Dayak, malah berperanan sebagai platform penting untuk memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, nilai kebersamaan yang dizahirkan menerusi sambutan Gawai perlu terus dipelihara sebagai asas kepada keharmonian dan pembangunan negeri.
“Pada malam ini kita dapat melihat semua kaum, semua jabatan dan semua peringkat pegawai berhimpun bersama.
“Inilah semangat perpaduan yang perlu terus dipelihara demi kemajuan Bahagian Serian dan Sarawak secara keseluruhannya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Gawai “Merun Kasah” Pentadbiran Bahagian Serian 2026 di Dewan Serbaguna Tapah, di sini pada Jumaat.
Tambahnya, semangat gotong-royong dan kerjasama yang dipamerkan dalam penganjuran program tersebut membuktikan perpaduan yang kukuh mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan masyarakat dan pembangunan kawasan.
Terdahulu semasa berucap dalam majlis yang sama, Residen Bahagian Serian, Mackos Sibong berkata, Majlis Merun Kasah Pentadbiran Bahagian Serian mencerminkan kesepakatan dan kerjasama erat antara jabatan, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat serta komuniti setempat.
Katanya, penyertaan lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan serta pelbagai pusat khidmat dan organisasi masyarakat dalam menyediakan Rumah Gawai dan juadah tradisional membuktikan komitmen semua pihak dalam memelihara warisan budaya serta memperkukuhkan perpaduan masyarakat.
“Program ini bukan sahaja meraikan Gawai, malah menjadi platform yang baik untuk memperkukuhkan kerjasama, persefahaman dan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di Bahagian Serian,” ujarnya. -EDISI UKAS