Program MyLesen B2 Bantu Tangani Isu Penunggang Tanpa Lesen Di Miri
MIRI: Program MyLesen B2 terus menjadi platform penting dalam membantu golongan belia dan keluarga berpendapatan rendah (B40) memperoleh lesen motosikal secara sah, sekali gus mengurangkan risiko penunggang tanpa lesen serta meningkatkan keselamatan jalan raya.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata inisiatif tersebut membolehkan peserta yang layak menikmati subsidi kerajaan sehingga RM500, dengan hanya perlu membayar RM290 berbanding kos sebenar sekitar RM790 untuk mendapatkan lesen motosikal Kelas B2.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu di Miri dibuat susulan kebimbangan terhadap masih wujudnya pelajar dan belia yang menunggang motosikal tanpa lesen sah.
“Beberapa tahun lalu ketika saya melawat sebuah sekolah di kawasan ini, daripada lebih 100 motosikal yang berada di kawasan sekolah, kebanyakan pelajarnya didapati tidak mempunyai lesen motosikal. Situasi ini amat membimbangkan kerana melibatkan aspek keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program MyLesen B2 anjuran Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Dewan Dato Permaisuri, Permyjaya, pada Sabtu.
Susulan itu, Dato Sri Lee berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada JPJ bagi mendapatkan kuota khas supaya lebih ramai pelajar dan belia berpeluang mengikuti latihan serta mendapatkan lesen memandu motosikal melalui bantuan subsidi kerajaan.
Katanya, program tersebut telah dilaksanakan selama tiga tahun berturut-turut dan memberi manfaat kepada pelajar dari beberapa sekolah menengah termasuk SMK Merbau, SMK Pujut, SMK Baru dan SMK Lopeng Tengah serta sekolah-sekolah lain di Bahagian Miri.
Menurut beliau, program berkenaan kini turut diperluaskan kepada orang awam yang masih belum memiliki lesen motosikal bagi memastikan lebih ramai pengguna jalan raya memandu secara sah dan bertanggungjawab.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan peserta supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan aspek keselamatan selepas memperoleh lesen memandu.
“Gunakan topi keledar setiap kali menunggang motosikal, patuhi undang-undang jalan raya dan jangan sesekali terlibat dalam aktiviti lumba haram atau menjadi mat rempit,” tegasnya.
Dato Sri Lee turut menggesa peserta memanfaatkan penggunaan lesen digital menerusi aplikasi MyJPJ bagi memudahkan urusan pengesahan dan pemeriksaan oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, sikap menunggang secara berbahaya bukan sahaja mengundang risiko kepada diri sendiri, malah boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Sehubungan itu, beliau berharap semua peserta yang mengikuti program tersebut dapat menjadi penunggang yang lebih berhemah, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.
Pada masa sama, beliau menyeru ibu bapa supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mendidik serta memantau anak-anak agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan menjauhi aktiviti berisiko tinggi.
“Setiap orang mahu pergi ke sekolah atau tempat kerja dengan selamat dan pulang ke rumah dengan selamat. Sebab itu memiliki lesen memandu dan mematuhi peraturan jalan raya amat penting,” katanya. -EDISI UKAS