Sarawak Eco Run 5.0 Bentuk Generasi Berdaya Saing, Perkukuh Kesedaran Kelestarian Alam
MIRI: Program Sarawak Eco Run 5.0 terus menjadi platform penting dalam melahirkan generasi muda yang sihat, berdisiplin dan berdaya tahan, selaras dengan usaha Sarawak memperkukuh pembangunan modal insan serta memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala berkata program seumpama itu memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang seimbang dari aspek fizikal, mental dan sahsiah bagi mendepani cabaran pembangunan masa depan.
Menurut beliau, pembangunan modal insan berkualiti merupakan antara elemen penting dalam merealisasikan aspirasi Sarawak untuk menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dominic Nyurang Ajang pada Majlis Penutupan Sarawak Eco Run 5.0 Peringkat Negeri Sarawak Daerah Miri 2026 di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, pada Sabtu.
Menurut beliau, Sarawak Eco Run bukan sekadar acara larian, sebaliknya platform untuk membentuk generasi yang sihat, aktif, berdisiplin, berdaya tahan serta mempunyai kesedaran tinggi terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.
Program anjuran Majlis Pengakap Daerah Miri itu berjaya menghimpunkan seramai 1,443 peserta yang terdiri daripada ahli Pengakap sekolah rendah dan menengah, guru, ibu bapa serta masyarakat setempat.
Datuk Gerawat berkata penyertaan yang memberangsangkan itu mencerminkan sokongan berterusan masyarakat terhadap usaha melahirkan generasi muda yang aktif, berintegriti dan memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi.
Katanya, tema ‘Pengakap Mentransformasi Generasi’ amat bertepatan dengan peranan Persekutuan Pengakap Malaysia yang telah sekian lama menjadi medium pembentukan sahsiah, kepimpinan dan jati diri golongan muda.
Menurut beliau, nilai disiplin, kerja berpasukan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial yang diterapkan menerusi aktiviti kepengakapan amat diperlukan dalam usaha melahirkan modal insan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa konsep Eco Run yang diketengahkan dalam program tersebut selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak terhadap agenda pembangunan mampan dan pemeliharaan alam sekitar.
Katanya, isu perubahan iklim, pencemaran alam sekitar dan kemusnahan biodiversiti merupakan cabaran global yang memerlukan penglibatan semua pihak, khususnya generasi muda.
“Sebagai negeri yang kaya dengan khazanah alam semula jadi, kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan warisan ini terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda agar menjadi ejen perubahan dalam memperkasakan budaya cintakan alam sekitar melalui amalan menjaga kebersihan, memelihara ekosistem dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kelestarian.
Pada majlis sama, Datuk Gerawat turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 kepada Majlis Pengakap Daerah Miri bagi menyokong pelaksanaan program dan aktiviti kepengakapan sepanjang tahun 2026.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara SK Merbau dan Majlis Pengakap Daerah Miri sebagai langkah memperkukuh kerjasama dalam pembangunan aktiviti kepengakapan dan pembentukan sahsiah pelajar. -EDISI UKAS