LIMBANG: Cadangan pembinaan sekolah berkelompok dilihat sebagai langkah strategik dan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah banjir yang sering menjejaskan beberapa sekolah di kawasan pesisir sungai di Limbang, sekali gus memastikan akses pendidikan yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada murid.
Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata cadangan itu dikemukakan susulan gangguan operasi yang dialami beberapa sekolah hampir setiap tahun akibat banjir ketika musim hujan dan fenomena air pasang.
Menurut beliau, keadaan tersebut bukan sahaja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, malah turut memberi kesan kepada keselamatan murid, guru serta kemudahan sekolah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Projek Pembinaan Bangunan TABIKA KEMAS Nangga Medamit, pada Jumaat.
Datuk Hasbi berkata antara sekolah yang dikenal pasti untuk digabungkan di bawah konsep sekolah berkelompok ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Meritam, SK Tiga Kampung, SK Telahak, SK Lubok Tekurok dan SK Kuala Awang.
“Sekolah-sekolah ini kerap terjejas akibat banjir. Dalam tempoh Januari hingga Mei tahun ini sahaja, beberapa kejadian banjir telah berlaku sehingga mengganggu aktiviti pembelajaran murid,” katanya.
Dalam usaha merealisasikan projek berkenaan, Datuk Hasbi berkata pihaknya telah mengadakan beberapa siri libat urus dan sesi dialog bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Melalui sesi town hall yang diadakan, seramai 129 penduduk yang hadir telah memberikan persetujuan bertulis terhadap cadangan pemindahan dan pembinaan sekolah berkelompok ini,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan perkembangan beberapa projek pendidikan di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di kawasan berkenaan.
Menurutnya, Projek Pembinaan Bangunan TABIKA KEMAS Nangga Medamit yang ditinjau beliau kini mencapai kira-kira 70 peratus siap dengan kos hampir RM900,000 dan dijangka memberi manfaat kepada penduduk setempat melalui penyediaan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih selesa dan kondusif.
Selain itu, sebuah TABIKA KEMAS di Lubuk Tuan telah selesai melalui proses pemilihan kontraktor, manakala sebuah TASKA KEMAS di Bandar Limbang akan melalui proses perolehan semula bagi memastikan pelaksanaannya dapat diteruskan.
Beliau berkata pembangunan kemudahan pendidikan yang berkualiti merupakan antara keutamaan kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan modal insan, khususnya di kawasan luar bandar. -EDISI UKAS