Projek Jalan & Jambatan Bakal Hubungkan Muara Payang, Parit Bugis Menjelang 2030
SARIKEI: Penduduk di kawasan Muara Payang dan Parit Bugis dijangka menikmati sistem perhubungan darat yang lebih sempurna apabila projek jalan dan jambatan yang sedang dirancang kerajaan negeri dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata projek jalan dari Bukit Huang/Parit Bugis ke Muara Payang yang bernilai RM65 juta kini sedang dilaksanakan di bawah ‘Rajang Delta Development Agency’ (RADDA).
Beliau berkata, projek berkenaan akan disambung terus ke kawasan Samaring dalam DUN Semop bagi mewujudkan rangkaian perhubungan yang lebih menyeluruh antara kawasan di Delta Rajang.
“Bagi melengkapkan sistem perhubungan ini, sebuah jambatan merentasi Batang Rajang yang dianggarkan bernilai RM300 juta turut akan dibina.
“Projek tersebut pada dasarnya telah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Majlis Perasmian Jambatan Tuanku Haji Bujang di Pasi tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngiling Bidai DUN Kuala Rajang yang berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang, pada Sabtu.
Datuk Len turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Muara Payang atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang menantikan pelaksanaan projek berkenaan sejak enam tahun lalu.
Menurut beliau, sokongan serta kerjasama erat daripada tuai rumah dan masyarakat setempat menjadi faktor penting dalam memastikan setiap projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Beliau menambah, pembangunan sistem perhubungan yang lebih baik bukan sahaja akan meningkatkan keselesaan penduduk, malah dijangka merancakkan aktiviti ekonomi setempat, khususnya dalam sektor pertanian yang mempunyai potensi besar di kawasan tersebut.
Menurutnya, pelaksanaan projek-projek berkenaan membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan pembangunan serta melengkapkan prasarana asas demi meningkatkan taraf hidup rakyat di Muara Payang dan kawasan sekitarnya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab. -EDISI UKAS