Keselamatan Sungai Perlu Terus Diperkukuh Dalam Kalangan Masyarakat Luar Bandar
SIBU: Kesedaran terhadap aspek keselamatan sungai perlu diperkukuh secara berterusan memandangkan sungai kekal menjadi nadi kehidupan dan laluan pengangkutan utama bagi sebahagian besar penduduk luar bandar di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro merangkap Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Dr Safiee Ahmad berkata, usaha memupuk budaya penggunaan sungai secara selamat dan bertanggungjawab memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.
Beliau berkata, sungai bukan sahaja berfungsi sebagai laluan pengangkutan utama bagi sebahagian besar penduduk luar bandar, malah turut menjadi sumber ekonomi, aktiviti sosial serta penghubung kepada pelbagai kemudahan asas.
“Pembangunan fizikal yang dilaksanakan kerajaan perlu diseimbangkan dengan tahap kesedaran masyarakat dalam menjaga kemudahan awam dan alam sekitar supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara berterusan oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keselamatan dan Kebersihan Sungai serta Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2026 di Rumah Jimbau Gamu, Batang Lassa, pada Sabtu.
Sebagai simbolik komitmen kerajaan terhadap keselamatan komuniti sungai, beliau turut menyampaikan 50 unit jaket keselamatan kepada 14 Tuai Rumah dan 15 pelajar Sekolah Kebangsaan Batang Lassa.
Dr Safiee berkata, inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna pengangkutan air, khususnya penduduk rumah panjang dan murid sekolah yang bergantung kepada pengangkutan sungai dalam urusan harian.
Beliau menyeru para pemimpin masyarakat agar memainkan peranan sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan mesej keselamatan kepada komuniti masing-masing termasuk memastikan penggunaan jaket keselamatan dijadikan amalan ketika menggunakan bot dan pengangkutan air.
Pada majlis sama, ADUN Daro itu turut merasmikan beberapa projek pembangunan yang telah siap dilaksanakan di kawasan Batang Lassa, termasuk Projek Jalan Batang Lassa di Rumah Mohamadin Jumut bernilai RM250,000, Projek Naik Taraf Jalan Rumah Wih bernilai RM500,000 dan Projek Naik Taraf Dewan Batang Lassa bernilai RM200,000.
Beliau turut meninjau beberapa projek pembangunan baharu yang bakal dilaksanakan, antaranya Projek Sistem Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) Batang Lassa bernilai RM16.5 juta, Projek Bina Baharu Jeti Batang Lassa bernilai RM350,000 serta Projek Pembangunan Sekolah Kebangsaan Batang Lassa bernilai RM57.5 juta.
Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang tanpa mengabaikan kawasan luar bandar.
Tambahnya, pembangunan dalam sektor pendidikan, kemudahan asas dan infrastruktur perhubungan amat penting dalam melahirkan masyarakat yang lebih maju serta berdaya saing.
Hadir sama Controller LSS Lt Kol Ding Tiew Wong, Setiausaha Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) Ng Siang Wei, wakil Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) Rahimee Dahlan, wakil Residen Bahagian Sibu Macgyver Boi serta pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.-EDISI UKAS