Catur Bentuk Pemikiran Strategik, Disiplin Generasi Muda
SIBU: Permainan catur mampu menjadi medium berkesan dalam membentuk pemikiran strategik, disiplin serta sahsiah generasi muda sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, catur bukan sekadar permainan yang menguji kecerdasan minda, malah mengajar peserta tentang kepentingan membuat keputusan, merancang langkah lebih awal dan menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi.
“Setiap langkah memerlukan pertimbangan, setiap keputusan membawa akibat dan setiap kesilapan menjadi pengajaran.
“Apa yang berlaku di atas papan catur mencerminkan pengalaman dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Kejohanan Catur Remaja PETRONAS 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart di sini, pada Sabtu.
Chieng berkata, kejohanan seumpama itu turut melatih peserta muda untuk berfikir secara kritis, bertindak dengan sabar serta menghormati pihak lawan.
“Nilai disiplin, ketahanan diri dan semangat kesukanan yang dipupuk menerusi catur akan memberi manfaat kepada peserta dalam pelajaran, kerjaya dan kehidupan mereka pada masa depan,” ujarnya.
Tambah beliau, kejohanan itu juga membantu melahirkan individu yang berkeyakinan, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Sementara itu, Kejohanan Catur Remaja PETRONAS 2026 melibatkan kira-kira 1,200 peserta dalam kategori bawah 12 tahun (U12) dan bawah 18 tahun (U18), meliputi empat lokasi penganjuran di Sarawak iaitu Miri, Sibu dan Kuching.
Bagi pertandingan di Sibu, Eric Wong dinobatkan sebagai juara kategori U18 manakala Jentzen Wong muncul juara kategori U12.
Tempat kedua kategori U18 dimenangi oleh Ting Zhi En, diikuti Iman Qhaliff Khuzaili Hairizam di tempat ketiga.
Bagi kategori U12 pula, Ashley Yiu meraih tempat kedua manakala Simon Siow menduduki tempat ketiga.
Hadir sama, Pengurus Besar PETRONAS Sarawak Norazibah Md Rabu, Pegawai Tadbir Daerah Sibu Cynthia Ong Hsiang Ping yang mewakili Residen Bahagian Sibu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Jeremy Ling Beng mewakili Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Pengetua SMK Sacred Heart David Teo dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Lu Yew Kong. -EDISI UKAS