Kerajaan Sarawak Peruntuk RM39 Juta Bina Kompleks SNDB Di Dalat
DALAT: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM39 juta bagi pembinaan Kompleks Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah Sarawak (SNDB) di Dalat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, projek berkenaan adalah sebagai langkah memperkukuh pembangunan industri sagu dan nipah di negeri ini.
"Kompleks ini akan mempamerkan keseluruhan rantaian industri sagu termasuk aspek budaya yang berkait rapat dengan tanaman tersebut, sekali gus berfungsi sebagai pusat rujukan yang lebih komprehensif di rantau ini.
“Disebabkan itu, ia perlu menjadi lebih baik dan menyeluruh selaras dengan kedudukan Sarawak sebagai pengeluar utama sagu serta pusat rujukan industri tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Karnival Balau Dalat 2026 yang berlangsung di Tebingan Dalat, pada Sabtu.
Dato Sri Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memaklumkan bahawa SNDB turut membantu menyelesaikan isu pemilikan tanah yang dihadapi pekebun kecil dengan bertindak sebagai pemudah cara kepada Jabatan Tanah dan Survei.
Setakat ini, katanya, sebanyak 110 permohonan berkaitan tanah telah dikemukakan, dengan 38 daripadanya diluluskan, manakala 36 geran telah diserahkan kepada pemohon dan dua lagi sedang menunggu proses penyerahan.
“Sebanyak 58 permohonan masih dalam proses dan usaha ini penting bagi memastikan pembangunan industri sagu dapat dilaksanakan secara lebih terancang serta memberi manfaat berterusan kepada pekebun kecil,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah meluluskan projek Dalat Boutique Hotel.
Menurutnya, ia akan diuruskan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan negeri bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan tempatan.
Sepanjang karnival berlangsung, pelbagai aktiviti seperti persembahan kebudayaan, pameran produk berasaskan sagu, pameran agensi kerajaan, sukan tradisional dan program sampingan telah berjaya menarik penyertaan masyarakat khususnya golongan muda.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi dan Pengurus Besar SNDB, Zaidell Hussaini.-EDISI UKAS