Malam Kebudayaan Program Bakti Belia MADANI 2026 Mukah Semarak Semangat Perpaduan, Pelihara Warisan Budaya
MUKAH: Malam Kebudayaan yang diadakan sempena Program Bakti Belia MADANI 2026 Peringkat Sarawak menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya serta memperkukuh hubungan silaturahim antara belia dan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata program seumpama itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan budaya masyarakat Melanau dan kepelbagaian etnik di Sarawak, malah turut menyemai nilai kebersamaan, semangat kesukarelawanan serta keprihatinan sosial dalam kalangan generasi muda.
“Malam Kebudayaan ini menampilkan persembahan yang mencerminkan budaya Melanau serta keharmonian masyarakat Sarawak di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara para peserta serta penduduk setempat.
“Program seumpama ini bukan sahaja menjadi platform untuk memelihara dan memartabatkan warisan seni dan budaya, malah turut menyemai nilai kebersamaan, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan belia serta masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Malam Kebudayaan sempena Program Bakti Belia MADANI 2026 Peringkat Sarawak di Dewan Kampung Sungai Ragei, pada Sabtu.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi.
Sepanjang program tersebut, para hadirin disajikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian tradisional, nyanyian dan persembahan daripada lima kampung yang terlibat dalam program berkenaan.
Dalam majlis sama, turut berlangsung simbolik penyerahan Bakul Prihatin anjuran SABERKAS kepada lima penerima asnaf di Kampung Sungai Ragei sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Mukah menjadi tuan rumah Program Bakti Belia MADANI 2026 Peringkat Sarawak yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun 2026 dengan tema “Belia Prihatin, Komuniti Sejahtera”.
Program tersebut melibatkan seramai 36 pelajar institusi pengajian tinggi tempatan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Mukah.
Sebanyak lima segmen dilaksanakan sepanjang program iaitu Segmen Informasi Komuniti, Segmen Komuniti Hijau, Segmen Kesihatan, Segmen Kebudayaan dan Segmen Belia Cergas.
Lima kampung dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program iaitu Kampung Datuk, Kampung Sungai Ragei, Kampung Sungai Pegei, Kampung Penakub Permai dan Kampung Tellian Laut.
Melalui pelaksanaan konsep keluarga angkat, para peserta ditempatkan bersama keluarga angkat di kampung-kampung terlibat sepanjang program berlangsung bagi memberi peluang kepada mereka memahami kehidupan masyarakat luar bandar serta menghargai kepelbagaian budaya dalam komuniti setempat. -EDISI UKAS