76 Penerima Di DUN Stakan Terima Cek Outright Grant Berjumlah RM313,000
KOTA SAMARAHAN: Seramai 76 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stakan menerima sumbangan ‘outright grant’ dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM313,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), persatuan, kelab serta pertubuhan yang aktif melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan di kawasan DUN Stakan.
Sehubungan itu beliau menegaskan bahawa, setiap dana yang diterima perlu diuruskan dengan penuh amanah, integriti dan tanggungjawab bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh masyarakat secara menyeluruh.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Cek ‘Outright Grant’ 2026, di Pusat Khidmat DUN Stakan pada Sabtu.
Beliau turut mengingatkan semua penerima supaya setiap penggunaan peruntukan diputuskan secara bersama melalui mesyuarat serta mendapat persetujuan ahli jawatankuasa yang berkaitan bagi memastikan tadbir urus yang baik diamalkan.
Menurut beliau, setiap keputusan yang dibuat hendaklah direkodkan dan didokumentasikan dengan teratur melalui minit mesyuarat serta laporan bertulis sebagai langkah memastikan pengurusan dana sentiasa telus, sistematik dan mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Hadir sama, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak, Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Daily Joseph serta Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Stakan Tuah Jini. -EDISI UKAS