Pembangunan Modal Insan Kunci Kejayaan Opar Hadapi Masa Depan
LUNDU: Pembangunan modal insan yang berkualiti perlu bergerak seiring dengan pembangunan fizikal bagi memastikan kemajuan yang dilaksanakan mampu memberi manfaat berterusan kepada masyarakat dan daerah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, pelaburan dalam pembangunan modal insan merupakan antara pelaburan paling bernilai kerana mampu menghasilkan pulangan besar kepada masyarakat dan negara dalam jangka panjang.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah kawasan tidak hanya bergantung kepada pembangunan infrastruktur semata-mata, sebaliknya memerlukan generasi muda yang berilmu, berkemahiran serta mempunyai ciri kepimpinan yang mampu menerajui pembangunan pada masa hadapan.
“Program seperti ini amat penting kerana ia membantu membentuk bukan sahaja pelajar yang cemerlang dalam akademik, tetapi juga individu yang mempunyai kemahiran insaniah, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan daya tahan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Program Level Up Youth! Building Future-Ready Leader di Dewan Serbaguna CENTEX Lundu, di sini pada Sabtu.
Program anjuran mahasiswa Program Sarjana Sains Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu melibatkan pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu dan bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam menghadapi alam pengajian tinggi dan dunia pekerjaan.
Menurut Billy, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai modul penting termasuk pendedahan kepada pasaran pekerjaan, simulasi temu duga dan latihan kerjasama berpasukan yang mampu meningkatkan keyakinan diri, profesionalisme serta kebolehan bekerja secara kolaboratif.
Mengulas mengenai pembangunan kawasan Lundu dan Opar, beliau menegaskan bahawa pelbagai projek pembangunan sedang dilaksanakan melibatkan sektor infrastruktur, pendidikan, pertanian moden, pelancongan dan ekonomi.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan pelaksanaan pembangunan tersebut memerlukan sokongan modal insan yang berkualiti dan berkemampuan untuk mengisi peluang yang diwujudkan.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai anak tempatan tampil sebagai doktor, jurutera, akauntan, guru, pegawai kerajaan, usahawan, pakar teknologi dan pemimpin yang mampu menerajui pembangunan daerah pada masa hadapan.
Turut hadir, Naib Canselor UNIMAS Profesor Dr Ahmad Hata Rasit, Dekan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia UNIMAS Dr Hana Hamidi, Pegawai Daerah Lundu Zulkarnain Ismail, Ketua Kampus CENTEX Lundu Dr Nor Ashikin Abdul Rahman, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Bakat Murid) PPD Lundu Siti Amiza Kalana, Pengetua SMK Lundu Mohammad Azizian Madihi, Pengarah Program Bernadate Rioi serta Presiden Alumni SMK Lundu Dr Lee Kui Soon. -EDISI UKAS