Bakat Muda Sarawak Perlu Diberikan Platform Untuk Menyinar
MIRI: Sarawak mempunyai ramai bakat-bakat muda yang memerlukan ruang dan peluang serta platform untuk mengetengahkan bakat mereka.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran Festival ‘What About Kuching ‘(WAK) Miri merupakan satu inisiatif kementerian bagi membantu pembangunan ini sekali gus merancakkan industri kreatif serta memperkasa bakat tempatan.
“Festival ini bukan sekadar hiburan, tetapi merupakan platform komuniti yang membuka ruang kepada artis, pemuzik, pengkarya dan usahawan kreatif untuk mengetengahkan hasil serta potensi mereka kepada khalayak lebih luas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian WAK Miri, di Pusat Kraftangan Miri pada Sabtu.
Menyentuh potensi Miri, beliau menyifatkan bandar raya itu sebagai pintu masuk utama di utara Sarawak yang kaya dengan warisan, kepelbagaian etnik serta keindahan alam semula jadi, sekali gus menjadikannya lokasi strategik bagi pembangunan industri kreatif dan pelancongan.
Tambah beliau, sambutan memberangsangkan terhadap WAK Miri sepanjang tiga tahun penganjurannya membuktikan bahawa masyarakat setempat mempunyai semangat kreativiti tinggi dan berpotensi menjadikan festival ini sebagai antara acara utama di Sarawak.
Terdahulu, Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata penganjuran WAK Miri berjaya menghidupkan ruang awam melalui pelbagai aktiviti seni, budaya dan gaya hidup.
Beliau yakin festival tersebut mampu memperkukuh kedudukan Miri sebagai hab kreativiti, pelancongan dan inovasi di rantau ini.
Festival WAK Miri 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun menampilkan lebih 40 pengisian program merangkumi muzik, seni visual, fotografi, kraftangan, persembahan budaya, komedi serta aktiviti gaya hidup.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan masyarakat Lun Bawang serta persembahan ‘Citra Malaysia: Colours of Malaysia – Pirin Kamek’ oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak yang mengetengahkan keunikan warisan budaya Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Morshidi Fredrick. -EDISI UKAS