LAWAS: Penganjuran Festival ‘Beyond Waves & Dance Rhythms’ 2026 di Waterfront Lawas terus membuktikan peranannya sebagai wadah memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum di samping mempromosikan keunikan budaya dan merancakkan sektor pelancongan tempatan.
Festival yang menghimpunkan penyertaan dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan serta Brunei Darussalam itu turut menjadi platform strategik dalam mengeratkan hubungan serantau serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan komuniti.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong berkata penganjuran program seumpama itu bukan sekadar berteraskan hiburan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menyatupadukan masyarakat serta memperkukuh jaringan persahabatan.
“Program seperti ini bukan sekadar pertandingan atau hiburan semata-mata, tetapi menjadi medium untuk menyatupadukan masyarakat, memperkukuhkan persahabatan dan membawa kita melangkah ke arah masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Festival ‘Beyond Waves & Dance Rhythms Festival: Uniting Cultures Through Dragon Boat Racing, Line Dance & Food’ 2026, di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan festival berkenaan wajar diteruskan dan diperkasakan pada masa hadapan memandangkan impaknya yang signifikan bukan sahaja dalam mempromosikan budaya, malah menyumbang kepada pembangunan ekonomi serta industri pelancongan setempat.
Sementara itu, Pengerusi program berkenaan, Liaw Kuan Liong berkata penganjuran festival tersebut berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dalam suasana harmoni, sekali gus membuktikan kepelbagaian budaya sebagai kekuatan utama masyarakat.
Menurut beliau, acara perlumbaan perahu naga sebagai pengisian utama berjaya menyemarakkan semangat kerjasama, disiplin dan persahabatan, manakala festival makanan serta jualan memberi peluang kepada usahawan tempatan menjana pendapatan dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Festival ini bukan sekadar acara hiburan, tetapi platform penting untuk memelihara warisan budaya, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan memperkenalkan Lawas sebagai destinasi pelancongan yang unik,” ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Setiausaha Majlis Daerah Lawas Zulkipli Sahari, Pemanca Daerah Lawas Tan Yong H’ng dan Pengerusi Persatuan Liaw Chang Eng. -EDISI UKAS