Sarawak Perkukuh Kedudukan Sebagai Hab Gastronomi Antarabangsa Melalui WATCEFS 2026
MIRI: Sarawak terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan dan gastronomi bertaraf antarabangsa menerusi penganjuran ‘World National and World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival and Seminar’ (WATCEFS) 2026 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Jumaat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, penganjuran WATCEFS 2026 bukan sekadar pertandingan kulinari, malah menjadi platform penting yang menghubungkan Sarawak dengan komuniti gastronomi global melalui pertukaran idea, budaya dan peluang ekonomi.
“WATCEFS 2026 merupakan jambatan yang menghubungkan Sarawak dengan dapur-dapur terbaik dari 13 negara. Ia membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam bidang pelancongan, perdagangan, hospitaliti dan industri makanan,” katanya.
Tambah beliau, konsep tapas yang berasal dari Sepanyol mempunyai persamaan dengan kekayaan warisan makanan Sarawak yang menampilkan pelbagai ramuan unik seperti lada hitam Sarawak, sagu, dabai, midin dan umai, sekali gus memberi peluang untuk mengetengahkan identiti kulinari negeri ini di pentas dunia.
Beliau turut memaklumkan bahawa Sarawak berada pada landasan kukuh untuk mencapai lebih lima juta ketibaan pelawat pada tahun ini selepas merekodkan 4.97 juta pelawat dengan hasil pelancongan berjumlah RM12.67 bilion pada tahun 2025.
Bagi suku pertama 2026 pula, Sarawak mencatatkan 1.24 juta ketibaan pelawat dengan hasil pelancongan sebanyak RM3.15 bilion.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Chef Elly Liew Kit Kiet yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik Kejohanan Tapas Dunia 2025 di Valladolid, Sepanyol, sekali gus membuktikan keupayaan bakat kulinari Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sebanyak 30 chef terbaik Malaysia akan bersaing dalam World National Tapas Competition pada 20 Jun, manakala 25 peserta dari 13 negara akan berentap dalam World Asia Tapas Competition pada 21 Jun bagi merebut gelaran juara.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ethos Connect International Consulting Sdn Bhd merangkap Pengerusi Penganjur Sim Ling Ling dan wakil Datuk Bandar Valladolid Sepanyol Angel Moreton. -EDISI UKAS