Perpaduan & Warisan Budaya Teras Kekuatan Komuniti Hakka
MIRI: Perpaduan yang utuh serta usaha berterusan dalam memelihara warisan budaya menjadi asas penting dalam memastikan kelangsungan dan kekuatan komuniti Hakka di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, perkembangan berterusan organisasi Hakka di negeri ini membuktikan semangat perpaduan, kerjasama serta kekuatan warisan budaya yang menjadi tunjang komuniti tersebut sejak sekian lama.
“Cabaran utama kini bukan lagi tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, tetapi bagaimana memastikan warisan budaya terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda dalam era globalisasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Makan Malam dan Upacara Angkat Sumpah Jawatan Ahli Jawatankuasa, Pemuda dan Wanita Persekutuan Persatuan Hakka Sarawak Ke-12, di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, masyarakat Hakka sememangnya dikenali dengan sifat gigih, berani meneroka serta saling membantu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Sarawak dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Tambah beliau, semakin ramai generasi muda kurang fasih bertutur dalam bahasa Hakka dan kurang terdedah kepada amalan tradisi, justeru memerlukan pendekatan baharu yang lebih relevan.
“Budaya tidak boleh hanya kekal dalam buku sejarah atau memori generasi lama. Kita perlu mencari pendekatan yang lebih dekat dengan golongan muda supaya mereka terus mengenali, menghargai dan mewarisi identiti budaya mereka,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu menggalakkan persatuan Hakka memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi mempromosikan budaya termasuk bahasa, lagu, makanan tradisional serta kisah warisan kepada generasi muda. -EDISI UKAS