Warisan Budaya Tidak Boleh Terhakis Oleh Perkembangan AI
LIMBANG: Keaslian warisan budaya masyarakat pelbagai kaum perlu terus dipertahankan dalam era kecerdasan buatan (AI) dan perkembangan teknologi digital bagi memastikan identiti serta nilai budaya yang diwarisi turun-temurun tidak terhakis oleh perubahan zaman.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata kemajuan teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan usaha memelihara adat, tradisi dan warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat.
Menurut beliau, walaupun AI menawarkan pelbagai manfaat dalam aspek dokumentasi, pendidikan dan promosi budaya, masyarakat perlu memastikan keaslian warisan tersebut terus dipelihara untuk generasi akan datang.
“Kita tidak dapat menghalang perkembangan teknologi atau penggunaan AI, namun mesti ada pihak yang memastikan adat dan budaya asal terus terpelihara. Keaslian warisan budaya perlu dipertahankan agar tidak hilang ditelan arus pemodenan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Kebudayaan sempena Pesta Medamit 2026 di sini, pada Jumaat.
Datuk Hasbi berkata penganjuran pesta dan program kebudayaan merupakan platform penting untuk memperkenalkan serta mempromosikan warisan masyarakat kepada generasi muda selain memastikan kesinambungan budaya pelbagai kaum terus terpelihara.
Menurut beliau, penglibatan aktif golongan muda dalam persembahan kebudayaan sepanjang Pesta Medamit membuktikan masih terdapat pelapis yang bersedia meneruskan warisan adat dan budaya masyarakat masing-masing.
“Apabila program seperti ini diadakan, generasi muda dapat melihat sendiri keunikan budaya dan kesenian masyarakat kita. Ini penting supaya mereka memahami serta menghargai warisan yang dimiliki,” katanya.
Beliau berkata budaya tidak hanya terhad kepada tarian atau persembahan tradisional semata-mata, sebaliknya merangkumi adat resam, ritual, bahasa, seni, amalan tradisi dan nilai kehidupan yang membentuk identiti sesuatu masyarakat.
Sehubungan itu, Datuk Hasbi menggesa semua pihak termasuk pemimpin masyarakat, pertubuhan kebudayaan dan institusi pendidikan untuk terus memainkan peranan aktif dalam usaha memelihara dan mendokumentasikan warisan budaya agar tidak pupus ditelan zaman.
Katanya, pemeliharaan warisan budaya bukan sahaja penting dari sudut identiti masyarakat, malah berpotensi menjadi aset pelancongan dan sumber ekonomi yang mampu menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat. -EDISI UKAS