PETRONAS Dan Agensi Kerajaan Negeri Perkasa Sinergi Melalui Program Jaringan
MIRI: Hubungan strategik antara PETRONAS dan agensi kerajaan negeri terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Perlawanan Persahabatan Pickleball yang menghimpunkan wakil PETRONAS, Pejabat Residen Bahagian Miri dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Bahagian Miri di Paragon Pickleball Centre Senadin, pada Sabtu.
Program tersebut menjadi platform untuk mempererat hubungan profesional, memperkukuh jaringan kerjasama serta meningkatkan sinergi antara sektor korporat dan kerajaan dalam menyokong agenda pembangunan negeri serta kesejahteraan komuniti.
Seramai 20 peserta mengambil bahagian dalam program berkenaan yang terdiri daripada 14 kakitangan PETRONAS dan enam wakil daripada Pejabat Residen Bahagian Miri serta UKAS Miri.
Selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat dan aktif, aktiviti tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi dalam suasana santai, sekali gus memperkukuh persefahaman serta kerjasama yang telah terjalin antara semua pihak.
Penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam memperkasakan hubungan dengan agensi kerajaan negeri sebagai rakan strategik penting dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan di Sarawak.
Pada masa sama, pendekatan tersebut dilihat mampu memperkukuh komunikasi serta meningkatkan kerjasama rentas organisasi melalui platform yang lebih santai dan inklusif.
Inisiatif itu turut selari dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja di samping memperkukuh jaringan profesional yang dapat menyokong pelaksanaan program pembangunan serta tanggungjawab sosial pada masa hadapan.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn. Bhd. Sarawak Asset, Shalby Reduan, Pegawai UKAS Bahagian Miri Dayang Norazelina Hamdan, Pegawai Tadbir Sarawak Rafiq Azli Ramli serta Pengurus PETRONAS Sarawak, Suryani Dohan. -EDISI UKAS