MIRI: Kerajaan Sarawak terus mempergiat pembangunan infrastruktur jalan di kawasan pedalaman Telang Usan bagi meningkatkan akses perhubungan, merancakkan aktiviti ekonomi serta memperkukuh penyampaian pembangunan kepada masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata usaha berkenaan menjadi keutamaan kerajaan memandangkan isu jalan raya masih merupakan cabaran utama yang dihadapi penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Ulu Baram.
Menurut beliau, pelbagai projek pembinaan dan naik taraf jalan telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selesa dan selamat.
“Dalam tempoh lima tahun lalu, kira-kira 200 kilometer jalan telah berjaya dibina dan dinaik taraf di kawasan Telang Usan, termasuk laluan Long Lama–Logan Sibong, Long Wat–Long Tujang, Long Lama–Simpang Temala, Long Atip–Long Bedian serta beberapa bahagian jalan ke Simpang Long Laput dan Simpang Daleh–Long Pelutan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Kawasan SAN (JBKS) dan Program Pemimpin Bersama Rakyat, di sini pada Sabtu.
Dato Dennis berkata kawasan Ulu Baram mempunyai kira-kira 2,500 kilometer jalan tanah dan bekas jalan balak, dengan hampir 1,000 kilometer daripadanya terletak dalam kawasan Telang Usan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan terus melaksanakan projek strategik bagi memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan tersebut termasuk pembinaan jalan Long Aya–Long Sobeng bernilai RM137 juta serta pembangunan jalan di Simpang Long Bemang.
Beliau turut memaklumkan bahawa kira-kira 800 kilometer jalan masih perlu dibangunkan di seluruh kawasan Telang Usan, selain keperluan menaik taraf dan membina ratusan jambatan serta pembetung bagi melengkapkan rangkaian infrastruktur sedia ada.
Dalam usaha memastikan laluan pedalaman sentiasa berada dalam keadaan baik, Kerajaan Sarawak turut melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan balak menerusi Projek Penyelenggaraan Khas MARRIS.
Menurut beliau, kerja membaik pulih telah dilaksanakan di laluan dari Pekan Lapok hingga ke Bario termasuk Jambatan Sungai Pala di Simpang Long Aton, selain usaha mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf jalan dari Kilometer 10 ke Apau Nyaring serta pembinaan sebuah jambatan baharu di kawasan berkenaan.
Selain pembangunan jalan raya, kerajaan turut melaksanakan pelbagai projek lain yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat termasuk penyediaan bekalan elektrik melalui Sistem Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES), pembinaan Klinik Kesihatan Long San bernilai hampir RM50 juta, projek bekalan air graviti, pembinaan Loji Rawatan Air Long Anap dan penyediaan kemudahan telekomunikasi.
Turut dilaksanakan ialah pembinaan dan naik taraf jalan kampung, jambatan, dewan serbaguna sekolah, jeti, ruai ketua kampung, projek kebun komuniti serta kerja membaik pulih rumah ibadat menerusi peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Kerajaan Sarawak akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya lagi. -EDISI UKAS