Bapa ‘Tiang’ Keluarga, Pemangkin Masyarakat Harmoni
MIRI: Peranan golongan bapa sebagai tunjang institusi keluarga perlu terus dihargai dan diperkasakan kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk generasi berakhlak, memperkukuh nilai kekeluargaan serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, golongan bapa memikul tanggungjawab besar dalam memastikan kesejahteraan keluarga melalui pengorbanan, komitmen dan kasih sayang yang berterusan.
“Ramai bapa memikul tekanan dan cabaran kehidupan secara senyap demi memastikan kesejahteraan keluarga. Dengan ketabahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi, mereka berusaha menyediakan persekitaran terbaik untuk tumbesaran anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program pengagihan kek sempena Sambutan Hari Bapa yang dianjurkan Cawangan Piasau Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sekitar Old Man Street, Unity Food Centre dan Jalan Persiaran Kabor, pada Ahad.
Program khidmat masyarakat tersebut dilaksanakan dengan kerjasama ahli jawatankuasa cawangan, sayap wanita dan sayap pemuda SUPP Piasau yang turun padang mengagihkan kek kepada golongan bapa sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka.
Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, kasih sayang seorang bapa sering dizahirkan melalui tindakan, pengorbanan dan sokongan yang tidak berbelah bahagi sepanjang proses pembesaran anak-anak.
Menurut beliau, golongan bapa juga berperanan sebagai pembimbing utama yang membentuk jati diri, nilai tanggungjawab dan disiplin dalam sesebuah keluarga.
“Bapa bukan sahaja menjadi pembimbing dalam kehidupan anak-anak, malah berperanan mewariskan nilai-nilai murni yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga dan masyarakat yang kukuh,” ujarnya. -EDISI UKAS