Agenda Pembangunan Kerajaan Beri Manfaat Langsung Kepada Rakyat DUN Batu Danau
LIMBANG: Agenda pembangunan di bawah konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Danau memberi manfaat langsung kepada rakyatt di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata, pelbagai projek sedang dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kemajuan yang mampan sekaligus membuktikan komitmen kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan yang telah dirancang sejak sekian lama.
“Pembangunan tidak datang dengan sekelip mata. Ia perlu melalui proses perancangan yang panjang sebelum dapat dilaksanakan dan pada masa ini, kita sudah dapat melihat sebahagian daripada apa yang dirancang itu sudah mula menjadi kenyataan,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Pesta Medamit 2026, di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, kejayaan merealisasikan pelbagai projek pembangunan adalah hasil kepimpinan kerajaan negeri yang mempunyai visi serta hala tuju yang jelas dalam memacu kemajuan Sarawak.
Pada masa sama, beliau berharap rakyat terus mengekalkan perpaduan dan memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada demi memastikan agenda pembangunan di Batu Danau dan Limbang dapat diteruskan.
Menyentuh isu gangguan bekalan elektrik yang berlaku beberapa minggu lalu, beliau berkata masalah tersebut berpunca daripada kerosakan beberapa unit generator serta isu pencemaran bahan api yang menjejaskan lima unit generator lain.
“Masalah ini dapat diatasi dengan bantuan set janakuasa bergerak dari Lawas dan Johor, manakala penyelesaian jangka panjang dijangka dapat direalisasikan apabila Limbang disambungkan ke State Grid pada Julai ini,” jelasnya.
Dalam majlis yang sama, beliau berkesempatan mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada SADIA Pampang Limbang selaku penganjur bersama serta berharap Pesta Medamit dapat disenaraikan dalam kalendar pelancongan tahunan Sarawak dan peringkat Persekutuan pada masa hadapan.
Hadir sama, wakil Residen Bahagian Limbang Aspalela Mohamad Sahmoni, Pengerusi SADIA Pampang Limbang Jerry Saraie, Timbalan Pengerusi SADIA Pampang Limbang merangkap Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Danau Jangan Bakar dan Temenggong Willie Merum Liau. -EDISI UKAS