Pameran ‘ALL ABOUT ARTS – Roots’ Angkat Warisan Budaya, Perkukuh Industri Kreatif Sarawak
MIRI: Pameran ‘ALL ABOUT ARTS – Roots’ yang berlangsung sempena ‘What About Kuching’ (WAK) Miri Festival 2026 menjadi platform penting dalam usaha memelihara warisan budaya serta memperkukuh pembangunan industri kreatif Sarawak menerusi penghayatan seni yang berteraskan identiti dan budaya tempatan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mengadakan lawatan ke pameran tersebut di Bintang Megamall selepas menghadiri Majlis Perasmian WAK Miri Festival 2026, pada Sabtu.
Mengiringi beliau, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Morshidi Frederick, Ketua Bahagian Warisan dan Industri Kreatif MTCP Dr Elena Gregoria Chai Chin Fern, Pengarah Festival WAK Donald Tan serta Pengurus Acara WAK Festival Brendan Chin.
Pameran hasil kerjasama antara Festival WAK dan ‘Society Atelier Sarawak’ itu mengetengahkan pelbagai karya seni yang meneroka tema identiti, memori dan warisan budaya melalui medium seni visual, tekstil, anyaman bakul serta kraftangan tradisional masyarakat Sarawak.
Dikelolakan oleh penggiat seni terkenal negeri ini, Edric Ong, pameran berkenaan menampilkan keunikan budaya masyarakat pelbagai etnik di Sarawak termasuk seni tenunan dan kraftangan tradisional yang diwarisi turun-temurun.
Selain menonjolkan keaslian warisan budaya, pameran tersebut turut memperlihatkan bagaimana elemen tradisi dapat diterjemahkan dalam pendekatan seni kontemporari tanpa menghilangkan nilai dan identiti asalnya.
Pada masa sama, pameran tersebut menyediakan ruang kepada penggiat seni tempatan untuk mempamerkan kreativiti dan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas, sekali gus memperkukuh ekosistem seni dan budaya di negeri ini.
‘ALL ABOUT ARTS – Roots’ merupakan antara pengisian utama WAK Miri Festival 2026 yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun, dengan kemasukan percuma kepada orang ramai. -EDISI UKAS