WATCEFS 2026 Himpun Penyertaan 13 Negara, Perkukuh Miri Sebagai Hab Gastronomi Asia
MIRI: ‘World National & World Asia Tapas Competition, Exhibition, Festival and Seminar’ (WATCEFS) 2026 mencipta sejarah apabila berkembang daripada pertandingan peringkat kebangsaan kepada platform gastronomi bertaraf Asia dengan penyertaan 55 peserta dari 13 negara.
Penganjuran acara antarabangsa itu dilihat mampu memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan gastronomi serta hab industri makanan dan minuman yang semakin berkembang di rantau ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah turut mengadakan lawatan ke festival berkenaan di Meritz Hotel, di sini, pada Sabtu serta meluangkan masa beramah mesra dengan peserta dan meninjau pameran serta gerai yang mengambil bahagian.
WATCEFS 2026 turut menghimpunkan lebih 100 pempamer dan vendor makanan dari Asia dan Eropah, sekali gus menyediakan platform jaringan perniagaan, pertukaran kepakaran serta kerjasama industri merentas sempadan.
Festival tersebut menampilkan pelbagai pengisian termasuk pertandingan tapas, sesi masterclass, pertandingan barista, kejohanan pengadunan kopi, pameran perdagangan dan sesi padanan perniagaan yang melibatkan pemain industri makanan dan minuman dari dalam dan luar negara.
Turut menjadi tarikan utama ialah WATCEFS Food Festival yang mengetengahkan kepelbagaian warisan kulinari Sarawak menerusi penyertaan 11 persatuan komuniti pelbagai kaum dan etnik.
Penyertaan komuniti tersebut bukan sahaja memperkenalkan makanan tradisional Sarawak kepada pengunjung antarabangsa, malah menjadi medium mempromosikan budaya, perpaduan dan identiti unik masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Penganjuran WATCEFS 2026 selaras dengan usaha memperkukuh sektor pelancongan berasaskan gastronomi yang semakin mendapat perhatian di peringkat global, di samping membuka peluang ekonomi baharu kepada pengusaha makanan, usahawan tempatan dan pemain industri hospitaliti. -EDISI UKAS