Projek Waterfront Tambirat Akan Diteliti Semula, Kerajaan Ambil Pendekatan Lebih Berhati-hati
KUCHING: Projek pembangunan waterfront di Tambirat yang sebelum ini mengalami kelewatan susulan insiden runtuhan struktur akan diteliti semula bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur dan selamat.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejadian tersebut telah memberi kesan kepada keseluruhan pelaksanaan projek termasuk fasa seterusnya.
Menurut beliau, kerajaan tidak memandang ringan insiden berkenaan dan akan memastikan setiap aspek projek dinilai dengan lebih rapi sebelum diteruskan.
“Apabila berlaku perkara di luar jangkaan seperti ini, ia sememangnya menjejaskan perancangan asal. Namun kita akan mengambil pendekatan lebih berhati-hati bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sarawak Youth Business and Innovation Challenge (saYBIC) 2025/2026, di sini pada Ahad.
Tambah beliau, penelitian semula melibatkan aspek teknikal, pelaksanaan serta pemantauan akan diberi keutamaan bagi menjamin keselamatan dan keberkesanan projek dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, beliau turut berharap penduduk di kawasan Tambirat dapat bersabar sementara usaha menyiapkan projek tersebut diteruskan.
Jelasnya, pembangunan waterfront berkenaan dijangka memberi impak positif kepada komuniti setempat termasuk merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan di kawasan berkenaan.
“Saya ingin menyelesaikan masalah ini, tetapi kita tidak dapat mengelak daripada apa-apa kemungkinan yang terjadi, saya berharap penduduk Tambirat bersabar, kerana jika Waterfront ini siap nanti, banyak acara dan manfaat yang dapat diperolehi", ujarnya lagi. -EDISI UKAS