Pendidikan Kekal Keutamaan, Pelajar Sarawak Nikmati Pelbagai Bantuan & Insentif
SARIKEI: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan menerusi pelbagai bantuan dan inisiatif pendidikan bagi memastikan lebih ramai anak negeri berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg membuktikan pendidikan kekal menjadi antara keutamaan dalam pembangunan Sarawak.
Menurutnya, pelbagai bantuan pendidikan turut disediakan di peringkat kawasan bagi membantu pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian, tanpa mengira pencapaian akademik.
Beliau berkata, pelajar yang mengikuti kursus kemahiran di institusi seperti Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan institut kemahiran swasta layak menerima bantuan RM300, manakala pelajar Tingkatan Enam dan program asasi universiti turut menerima jumlah yang sama.
“Pelajar diploma menerima bantuan RM400, manakala pelajar ijazah sarjana muda diberikan RM500 bagi membantu meringankan perbelanjaan mereka.
“Yang penting ialah kesungguhan mereka untuk meneruskan pengajian dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada program Pengerami Ngiling Bidai di Sare, pada Ahad.
Datuk Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) berjumlah RM1,200 setahun kepada pelajar Sarawak yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang diiktiraf di seluruh negara.
Katanya, bantuan tersebut diberikan tanpa mengambil kira latar belakang pendapatan keluarga sebagai usaha mengurangkan beban kos sara hidup pelajar.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri melalui Yayasan Sarawak memiliki beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Swinburne Kampus Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Kolej Universiti i-CATS dan Kolej Laila Taib.
Ujar beliau, bermula tahun 2026, pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di institusi milik kerajaan negeri itu akan menikmati manfaat menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang membolehkan yuran pengajian ditanggung oleh kerajaan negeri.
Tambahnya, pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada anak Sarawak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi serta melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti untuk pembangunan negeri.-EDISI UKAS